PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah yang berakhir pada hari Sabtu lalu yang menyaksikan rakyat Sabah telah memberikan mandat kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mengetepikan parti WARISAN dan sekutunya daripada singgahsana pemerintahan.
Mahu tidak mahu, usaha untuk memastikan sekutu Pakatan Harapan (PH) iaitu WARISAN di Sabah perlu dipastikan kalah dalam PRN ini. Umno di Sabah bertanding di atas nama Barisan Nasional (BN) manakala BERSATU bertanding di atas nama Perikatan Nasional (PN) manakala PAS yang tidak bertanding di Sabah telah mengerahkan pimpinan dan ahlinya turut membantu calon GRS khususnya calon daripada PN dan BN.
Akhirnya, musuh politik dapat ditumbangkan di Sabah namun berlaku pula rasa tidak puas hati di kalangan pimpinan dan ahli kedua-dua parti yang membawa kepada perbalahan sehingga ke pentas media sosial (medsos).
Jika ingin dititipkan rasa tidak puas hati maka memang banyak yang boleh dititipkan juga oleh PAS. PAS boleh senaraikan rasa ketidakpuasan hati dan disebarkan dalam medsos tetapi yang akan bertepuk tangan adalah musuh yang sentiasa menanti bola tanggung untuk dirembat.
Segala permasalahan yang berlaku kita selesaikan di meja rundingan, perlu cari jalan penyelesaian. Saya yakin ketiga-tiga parti yang dipimpin oleh pemimpin yang berjiwa besar dan berpandangan jauh ini mampu membina kesepaduan pakatan politik untuk masa hadapan negara.
Justeru kita perlu kembali kepada matlamat asal kita untuk bersama dalam gabungan ini. Kita perlu fokus siapa musuh kita yang sebenarnya. Kita perlu ingat kepada rakyat yang mahukan negara kita akan kekal berdaulat.
Kerajaan PN terus kita pertahankan sehingga tibanya PRU15 nanti. Dalam masa yang sama MN kita perkukuhkan bersama kehadiran BERSATU selepas ini seperti mana yang telah dipersetujui oleh Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU untuk mendukung PN sebagai gabungan besar atau ‘the grand coalition’.
Allah ingatkan kita di dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud;
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara…”
Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Robohnya kita akan menguntungkan musuh yang sentiasa menanti peluang dan ruang. Jangan kerana marahkan nyamuk habis kelambu dibakar. Disebabkan masalah kecil, kita mewujudkan masalah yang besar sehingga semua merasa padah.
Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Marilah kita bina muafakat bersama demi negara yang kita cintai ini.
Sekian, wassalam
KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL – HARAKAHDAILY 30/9/2020
Ulasan
Catat Ulasan