COVID-19: Jangan tukar rahmat-Nya

SEMASA serangan pertama COVID-19, hati kita dijinakkan dengan peringatan-peringatan agama. Kita akhirnya berjaya membendung wabak itu ke tahap yang membanggakan. Kita amat bersyukur kepada-Nya.

Apabila gelombang baru COVID-19 muncul dengan tiba-tiba, hati kita diliarkan dengan cemuhan, kutukan dan salah-menyalah sesama sendiri. Suara tazkirah agama menjadi sirna dan malap oleh bingitan kata-kata kutuk dan cerca. 

Dengannya, kita berharap dapat memenangi wabak ini sekali lagi. 

Begitulah kita. Kita sering putus asa dengan rahmat Allah. Kita tukar pengharapan kepada-Nya dengan kesombongan dan rasa hebat dengan diri dan upaya sendiri. Kita lupa, kita menang dulu dengan rahmat dan pertolongan daripada-Nya jua.

Kita mudah lupa Allah. Kita kerap putus dan hilang panduan menuju Allah. Kita hanyut bersama orang-orang yang sudah sedia hanyut. Kata-kata yang buruk tidak pernah kecuali menjadi ketandaan kepada akhlak yang buruk. Akhlak yang buruk tidak pernah kecuali menjadi ketandaan jauh daripada rahmat Allah. 

Kita tahu itu, tetapi kita teruskan juga kenafsuan untuk saling kutuk-mengutuk dan dan cerca-mencerca. Tahu kenapa?

Ya, kerana Allah mahu kita sedar bahawa tanpa rahmat-Nya, hati kita mudah saja menjadi liar. Atau, kerana Allah mahu menghukum kita dengan sebab keangkuhan kita sendiri. Kedua-duanya itu, kitalah yang rugi. Esok hari, kita pasti menyesali diri kerana berakhlak buruk hari ini. Atau, jika hati terus keras, di akhirat nanti, kita tidak terdaya untuk menyesal lagi. Yang ada hanyalah cerita pembalasan Allah yang pasti.

COVID-19 adalah ujian Allah. Diturunkan dan diangkat oleh-Nya dengan kehendak-Nya. Upaya kita hanyalah menunjukkan pengharapan kita kepada-Nya dengan usaha, doa dan tawakal. Itu saja yang Dia mahu daripada kita. Lalu Dia memilih pilihan-Nya.

Sesiapa pun yang putus daripada-Nya, maka putuslah rahmat Allah daripada-Nya. Bersama kita istiqamah di jalan Allah. Bersama kita memilih akhlak yang mulia. 

Jauhi buaian dunia yang sering membunuh jiwa yang lemah.

“Istiqamah”


USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH – HARAKAHDAILY 7/10/2020

https://harakahdaily.net/index.php/2020/10/07/covid-19-jangan-tukar-rahmat-nya/


Ulasan