LANTIKAN ADUN PERTAMA PAS DI NEGERI SABAH ; MENGGAMIT MEMORI KERUSI ADUN PERTAMA PAS DI JOHOR


Alhamdulillah, syukur kehadrat-Mu ya Allah kerana pada hari ini Dr Aliakbar bin Gulasan telah dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sabah yang baharu. Dr Ali yang telah lama saya kenal adalah merupakan seorang pimpinan PAS yang sangat komited dengan bidang yang diceburi.

Walaupun sebelum ini beliau adalah seorang Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) namun beliau tidak menjadikan ianya satu alasan untuk terus berjuang bagi melebarkan sayap PAS di Sabah.

Beliau pernah dipilih sebagai Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada sesi 2015-2017 dan dilantik   menjadi Timbalan Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar & Hal Ehwal Orang Asal pada ketika itu. 

Saya percaya para pimpinan, pendokong dan penyokong PAS di Negeri Sabah tentunya terharu dan gembira dengan lantikan ini. Ini membawa kepada kenangan ketika PAS di Johor telah diberikan kemenangan secara PERCUMA apabila calon PAS iaitu Dr Mohd Ramli bin Kari telah diistiharkan sebagai PEMENANG pada tahun 2004 setelah borang pencalonan BN telah ditolak. Walaupun PAS hanya menang satu DUN dan ia adalah kemenangan teknikal namun ia telah diraikan dengan rasa penuh kesyukuran kerana PAS berjaya meletakkan seorang wakil di dalam DUN Johor setelah 50 tahun PAS ditubuhkan di Johor.

Justeru gunakanlah ruang yang diberikan ini dengan sebaiknya. Dr Ali adalah ADUN PAS untuk seluruh Sabah. Saya percaya dengan pengalaman beliau yang telah bertahun ke sana dan ke mari ke serata Sabah tidak menyukarkan pergerakkannya selepas ini.

Terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah yang telah memberikan kepercayaan kepada PAS.

Selamat bertugas YB Dr Aliakbar!


Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur 

8 Oktober 2020






Ulasan