SUNGAI KITA TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA





Pada penghujung April tahun lalu, saya ada mengeluarkan satu kenyataan media bertajuk “Selamatkan Sungai Sebagai Sumber Air Kita” sebagai respon terhadap titah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah supaya semua pihak dapat bersama-sama mempertahankan kebersihan sungai yang juga sumber utama minuman serta keperluan harian, selain menjadi tempat habitat bagi haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar yang sangat prihatin terhadap masalah sungai di Johor telah menitahkan pihak berkuasa menyiasat dengan segera pencemaran yang berlaku di Sungai Ulu Benut dan Sungai Machap di Simpang Renggam hingga menyebabkan berlakunya kematian ikan-ikan.

Pada 15 April 2019 Syarikat Air Johor (SAJ) telah mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat kira-kira 17,000 pengguna akaun air di Kulai mengalami masalah bekalan air akibat pencemaran ammonia di Sungai Sayong disebabkan ban takungan di pusat bio-komposit bersebelahan sebuah kilang kelapa sawit di Sedenak pecah, lalu menyebabkan air mengandungi ammonia mengalir masuk ke Sungai Sayong.

Sebagai respon terhadap perkara ini maka PAS Kawasan Kluang telah menggesa agar kerajaan Negeri Johor memberikan perhatian yang paling optimum dengan langkah pencegahan, penguatkuasaan serta kesedaran terhadap masyarakat perlu dipertingkatkan. Rakyat negeri Johor perlukan sungai dan air yang bersih.

Sewaktu penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri Malaysia yang diserahkan melalui Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man di Parlimen berkaitan dengan isu pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor, saya telah menyatakan bahawa PAS Johor menggesa supaya Pembentukan Jawatankuasa Diraja mesti diwujudkan supaya mengkaji segala punca segala kelemahan, termasuk kelemahan pihak kerajaan yang lewat mengambil tindakan dan sambil lewa dalam isu ini. PAS Johor juga mendesak supaya satu Standard Operating Prosedur (SOP) diwujudkan bagi membolehkan ia digunapakai oleh semua pihak bagi menangani isu pencemaran ini.

Tahun lalu, mantan Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 telah menyatakan bahawa kerajaan Johor akan mewujudkan Jawatankuasa Pemantauan dan Penyelesaian Pencemaran Sungai sebagai langkah mengatasi masalah pencemaran sungai ini namun saya tidak pasti sejauh mana ianya dilaksanakan. Namun hakikatnya, negeri Johor masih lagi dhantui dengan masalah pencemaran sungai dan ianya serius!

Isu pencemaran sungai di Johor bukannya kecil kerana ianya adalah merupakan negeri yang mempunyai rekod pencemaran sungai yang paling tinggi di Malaysia. Ia pernah  dilaporkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada tahun 2017 yang melibatkan sebanyak 28 sungai yang tercemar dalam kelas tiga hingga lima.

Tahun lalu, Felo Kanan Pusat Kelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Zulkifli Yusop telah mendedahkan bahawa antara sungai yang berada pada tahap sungai kelas ketiga ialah Sungai Sembrong, Sungai Skudai, Sungai Kim Kim, Sungai Anak Sedili. Sungai Danga, Sungai Latoh, Sungai Kempas dan Sungai Sebulung pula berada pada tahap sungai kelas keempat yang hanya sesuai untuk tujuan pengairan manakala Sungai Tukang Batu tergolong pada tahap sungai kelas kelima iaitu air tercemar teruk.

Saya menyokong saranan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada awal bulan ini supaya pihak saintis dan pengkaji alam sekitar untuk membantu mengatasi masalah pencemaran khususnya yang berlaku di negeri Johor. Menurut beliau, pencemaran bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, tetapi juga kesihatan manusia sehingga menjejaskan ekonomi dan kehidupan harian masyarakat. Justeru, saya mencadangkan supaya satu jawatankuasa khas perlu diwujudkan dan ianya mestilah di bawa ke dalam Belanjawan Johor 2021 nanti.

Johor juga tidak ketandusan pakar sains di dalam bidang ini. Saya percaya pakar-pakar daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mampu untuk melaksanakan hasrat MB Johor ini. Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) yang telah diwujudkan perlu melipatgandakan usaha untuk memelihara dan meningkatkan kualiti air sungai.

Keseriusan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menangani isu pencemaran termasuklah pencemaran sungai terbukti dengan penubuhan pasukan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS) sebagai langkah membendung jenayah berkaitan alam sekitar yang melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menyelaras tindakan dengan agensi penguat kuasa KASA.

Operasi demi operasi telah dilakukan oleh JAS negeri Johor namun pencemaran terus berlaku. Sebagai contohnya, sebanyak 93 kompaun dan 26 Notis Arahan terhadap premis kilang sepanjang Sungai Selangkah di Pasir Gudang telah dikeluarkan sepanjang Ops Gempur yang diadakan pada 6 hingga 8 Julai dan 25 Jun di Sungai Selangkah yang lalu namun kedegilan pengusaha kilang berterusan sehingga mengakibatkan berlakunya lagi pencemaran air di Sungai Semberong Kiri dan Sungai Kahang baru-baru ini.

Justeru cadangan kerajaan untuk menaikkan denda maksimum kepada RM10 juta daripada RM500,000 yang digunapakai pada masa ini, bagi kes pencemaran air menerusi pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dijangka dibentangkan di Parlimen bulan November nanti adalah merupakan satu keputusan yang tepat pada masanya.

Sudah tiba masanya seluruh rakyat Johor untuk terus lebih peka dengan keadaan sungai kerana sungai kita adalah tanggungjawab kita bersama. Justeru saya mencadangkan agar kerajaan negeri Johor mewujudkan pasukan Sukarelawan yang akan menjadi mata dan telinga kerajaan negeri dan saya pasti cadangan ini akan disambut dengan baik oleh orang Johor.

Sekian, wassalam.

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL

2 Rabi’ul Awwal 1442 /19 Oktober 2020

Ulasan