KEMPEN SAWIT ANUGERAH TUHAN SEMAKIN MEKAR DENGAN KEJAYAAN

 



Apabila Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengumumkan di dalam sidang Dewan Rakyat pada bulan Julai tahun ini bahawa penjenamaan semula kempen “Sayangi Sawitku” kepada nama baharu iaitu “Sawit Anugerah Tuhan” ianya telah mendapat respon segera daripada mantan Menteri yang terlibat dalam memperkenalkan kempen Sayangi Sawitku ketika perbahasan tersebut. Untuk rekod, kempen Sayangi Sawitku telah diumumkan pelancarannya pada 8 Januari 2019 oleh YB Teresa Kok dan kempen ini telah berjalan selama setahun.

Semasa mengumumkan kempen baharu ini, YB Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPKK) menyatakan bahawa beliau mengambil pendekatan sedemikian dengan keyakinan bahawa ianya lebih baik dan langkah penambahbaikan untuk meningkatkan jualan minyak sawit negara ke peringkat global. Dalam masa yang sama Datuk Khairuddin tidak bertindak merendahkan kempen Sayangi Sawitku kerana sebelum ini memandangkan ianya sesuatu yang baik dalam usaha untuk meningkatkan penjualan minyak sawit negara.

Semasa perbahasan di Parlimen, bekas Menteri Industri Utama Teresa Kok telah mempertikaikan slogan Sawit Anugerah Tuhan dengan andaian bahawa slogan ini tidak memberi gambaran khusus mengenai ciri-ciri sawit Malaysia serta membangkitkan bahawa ramai yang tidak faham kenapa mesti hendak dikaitkan dengan agama hanya kerana Menterinya adalah daripada PAS.

Bagi melahirkan rasa tidak berkenannya Teresa dengan kempen ini, beliau juga memberikan contoh kenapa hanya menggunakan slogan Sawit sebagai anugerah daripada Tuhan sedangkan minyak Zaitun dan minyak Bunga Matahari juga adalah anugerah daripada Tuhan?

Soalan Teresa telah dijawab oleh Khairuddin dengan satu persoalan semula kepada Teresa, kenapakah beliau dahulu tidak menggunakan slogan ‘Sayangi Kokoku’ tetapi hanya ‘Sayangi Sawitku’. Beliau menambah lagi bahawa dengan menggunakan slogan ini tidak bermakna menafikan getah dan yang lain-lain.

Dr Khairuddin dalam perbahasannya telah meminta supaya diberikan tempoh 6 bulan bagi membuktikan kejayaan kempen berkenaan memandangkan pada ketika ini kerana masih terlalu terlalu awal untuk memberikan sebarang kritikan atau pandangan berhubung perkara itu.

Sejak diumumkan pada 22 Julai yang lalu, kempen Sawit Anugerah Tuhan baru sahaja masuk tiga bulan setengah sebelum mencapai tempoh enam bulan yang telah dinyatakan oleh Menteri. Masih ada kira-kira 2 bulan setengah lagi untuk membuktikan sama ada kempen ini berjaya ataupun sebaliknya namun dalam tempoh tiga bulan ini telah memperlihatkan beberapa kejayaan yang dapat dibanggakan, di antaranya ;

  1. Harga minyak sawit mentah atau Crude Palm Oil (CPO) terus meningkat naik, mencecah sehingga RM3,436.00 satu tan pada 11 November 2020 iaitu kadar tertinggi sejak 2 Mei 2012 (RM3,417.00). Walaupun ianya masih jauh daripada jumlah tertinggi pada 4 Mac 2008 iaitu sebanyak RM 4,179.50 namun pencapaian ini cukup tinggi untuk dibanggakan oleh negara kerana ianya adalah harga tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
  2. Harga Buah Tandan Segar (BTS) telah meningkat melebihi RM700 satu tan. Ia tentunya memberikan kegembiraan khususnya kepada pekebun kecil dan peneroka FELDA.
  3. Pasaran minyak sawit telah diterima semula dengan baik di negara India selepas India menghentikan pembelian minyak sawit Malaysia selama empat bulan akibat ketegangan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Pembelian baharu itu berlaku susulan peningkatan hubungan perdagangan Malaysia-India. Pengimport utama India telah mengikat kontrak pembelian 200,000 tan minyak sawit mentah dari Malaysia pada awal bulan Mei pada ketika pasaran minyak sawit Malaysia merudum kepada RM 2,021.50 (12 Mei 2020) iaitu kadar paling rendah pada tahun ini.
  4. Pasaran minyak sawit semakin meningkat di Turki dan negara-negara Balkan selain Benua Afrika dan Timur Tengah. Kerajaan mensasarkan penambahan 300,000 tan minyak sawit memasuki pasaran Itali dan Balkan pada tahun hadapan menerusi negara Turki yang juga menjadi hub eksport.

Dunia masih berhadapan dengan pendamik COVID19 dan bukan satu perkara yang mudah untuk terus memastikan minyak sawit Malaysia terus diterima oleh negra lain lebih-lebih lagi ada usaha untuk memburuk-burukkan minyak sawit kita oleh negara barat dan Eropah.

Begitu juga dengan harga CPO yang kini tinggi tidak mustahil akan turun (mengikut rekod terdahulu) namun usaha untuk mengekalkannya pada harga yang tinggi melebihi RM 2,800 satu tan perlu dilakukan. Harga CPO pernah jatuh sehingga RM 1,717.50 pada 21 November 2018 dan sudah tentulah ianya memberikan kesan kepada harga BTS dan akhirnya menghimpit kehidupan pekebun dan peneroka.

Justeru sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan negara, kita perlu pastikan bahawa kita terlibat sama dalam memastikan harga sawit Malaysia terus tinggi dan bertanggungjawab untuk bersama-sama mempromosi kempen Sawit Anugerah Tuhan melalui medium yang kita ada khususnya melalui penggunaan media sosial.

Sekian.


Ulasan