FOKUS KEPADA MSPO : PESAN DATUK AHMAD JAZLAN





Petang semalam buat kali pertamanya saya dapat bertemu dengan Datuk Ahmad Jazlan Yaakob. Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang juga merupakan Ahli Parlimen Machang.

Mesra orangnya dan fokus kepada apa yang diamanahkan kepadanya. Sebagai mantan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, beliau punyai banyak pengalaman dalam menguruskan tugas yang diberikan.
Sepanjang menghadiri program anjuran MPOB dengan kerjasama MPOCC iaitu Program Kempen MSPO Pekebun Kecil di KWL Bina Jaya Sdn Bhd, Mukim Semantan Ulu, Raub, Pahang petang semalam, Datuk Jazlan sentiasa ingatkan saya supaya fokus kepada pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Begitu serius beliau untuk kami fokus kepada MSPO.
Walaupun baru seminggu saya memulakan tugas di Majlis Persijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) namun melalui pembacaan serta perkongsian maklumat daripada Pengerusi yang lalu sdr
Muhtar Suhaili As-Sarawaki
saya menyedari bahawa fokus MPOCC adalah kepada MSPO dan ianya satu keperluan untuk difahami oleh setiap sektor pekebun kecil, ladang dan pengilang bahawa pensijilan MSPO yang dilaksanakan secara mandatori, bukannya satu pilihan.
Mana-mana ladang dan kilang kelapa sawit yang gagal melaksanakan pensijilan MSPO telah diberi amaran mulai 1 Januari 2020, dikenakan tindakan kompaun mulai 1 Julai 2020 dan akhirnya lesen mereka akan ditarik atau digantung mulai 1 Januari 2021 oleh pihak MPOB.
Namun yang menjadi halangan besar dalam pensijilan MSPO adalah terhadap pekebun kecil yang menghadapi pelbagai masalah untuk melaksanakan arahan ini, di antara adalah masalah pemilikan tanah kebun sawit yang diusahakan dan pengusaha yang sukar untuk dihubungi.
Bagi kategori Pekebun Kecil yang sepatutnya menyelesaikan pensijilan ini selewat-lewatnya pada 31 Disember ini, mereka akan diberi amaran mulai 1 Januari 2021, dikenakan tindakan kompaun mulai 1 Julai 2021 dan ditarik atau digantung lesen mulai 1 Januari 2022 sekiranya mereka gagal melaksanakan pensijilan MSPO.
Saya percaya kepada pasukan saya di dalam MPOCC akan melipatgandakan usaha untuk mencapai sasaran ini, insya Allah. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Khairul Faizi Ahmad Kamil
Pengerusi MPOCC

Ulasan