Sektor sawit paling terkesan kekurangan pekerja - Khazanah Research

 


Sektor sawit paling terkesan kekurangan pekerja - Khazanah Research

25 Januari 2021

KUALA LUMPUR: Khazanah Research Institute (KRO) mendapati sektor kelapa sawit antara yang paling terdedah kepada masalah pengurangan tenaga buruh disebabkan oleh beberapa faktor terutamanya pandemik COVID-19.

Fellow Pelawat Kanan KRI, Prof Dr Datin Paduka Fatimah Mohamed Arshad, berkata kekurangan sumber tenaga buruh akan memberi kesan yang lebih parah berbanding dengan penurunan harga global.

Beliau berkata, KRI dalam kajian terbarunya 'Implications of the Dominant Shift to Industrial Crops in Malaysia: System Dynamic Model of Industrial Crops' mendapati pengurangan buruh sebanyak 30 peratus daripada paras semasa akan menyebabkan pengeluaran menurun hampir separuh.

Katanya, jika pengurangan mencecah 80 peratus, ia akan menyebabkan keruntuhan sistem kerana pengeluaran hanya mencapai satu perlima daripada paras biasa atau Business As Usual (BAU) level."Disebabkan ini, penularan COVID-19 di kalangan pekerja asing boleh menjejaskan dengan ketara prestasi industri.

"Lantaran itu, industri perlu mengikuti sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, memperbaiki kediaman pekerja dan menerapkan pendigitalan untuk mengurangkan penggunaan tenaga kerja dalam beberapa proses pengeluaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fatimah yang juga Ketua Penyelidik kajian itu berkata, sektor kelapa sawit akan berdepan dengan paras siling keluasan tanah untuk kelapa sawit yang dihadkan seluas 6.5 juta hektar menjelang 2023.

Beliau berkata, pada 2019, 5.9 juta hektar diusahakan oleh ladang dan 986,000 hektar atau 17 peratus oleh pekebun kecil.

Katanya, kajian KRI juga mendapati sokongan pembangunan ke atas pekebun kecil akan memberi impak yang lebih besar kepada pulangan satu hektar berbanding ladang.

"Bagi mengurangkan pergantungan kepada tanah demi meningkatkan pengeluaran dan pulangan, hasil buah tandan segar untuk satu hektar boleh ditingkatkan melalui tanaman semula dan mengurangkan kos input selain buruh.

"Pada masa yang sama, sokongan pembangunan kepada pekebun kecil akan memberi impak besar ke atas pulangan. Malah pelaburan ke atas pekebun kecil akan menjanakan pertumbuhan yang inklusif, agihan yang setara," katanya.

Fatimah berkata, kajian juga mendapati peralihan besar kepada penanaman kelapa sawit dipacu oleh pulangan yang tinggi komoditi ini berbanding dengan getah dan koko.


Sumber ; 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/01/779692/sektor-sawit-paling-terkesan-kekurangan-pekerja-khazanah-research



Ulasan