Henti berpolitik, hargai nyawa rakyat - Sinar Harian


PERKEMBANGAN politik tanah air nampaknya kembali hangat sepanjang minggu lalu tatkala penularan pandemik Covid-19 turut dilihat semakin hari semakin membimbangkan.Pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai menteri kanan pada Rabu lalu telah mencetuskan pergolakan baharu dalam parti itu.

Beberapa jam selepas pengumuman pelantikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tersebut, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menggariskan tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus mendorong parti itu menarik sokongan kepada Muhyiddin Yasin, berkuat kuasa serta-merta.

Antara kegagalan PN yang didakwa oleh Ahmad Zahid ialah kegagalan kerajaan menangani Covid-19 secara berkesan sehingga mencetuskan keresahan dan kemurungan serius rakyat.

Sekiranya semua ahli Parlimen daripada UMNO sebulat suara meninggalkan PN, kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin akan hilang sokongan majoriti dan memungkinkan pembentukan kerajaan interim sehingga berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-15.

Dalam ruangan Lidah Pengarang Sin Chew Daily, ia menyifatkan perkembangan terbaru tersebut sebagai bermulanya detik percaturan terbaru politik membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO yang terdiri daripada dua kumpulan, iaitu kumpulan yang menyokong Muhyiddin dan satu kumpulan lagi yang menentang.

“Semua pihak mempunyai strategi masing-masing dan ia akan terus bergolak sehingga bermulalah sidang khas Parlimen yang dijadualkan pada 26 Julai ini.
“Tumpuan utama sudah pastinya akan terletak pada hari terakhir mesyuarat itu iaitu pada 2 Ogos depan,” tulis akhbar Cina tersebut.
Menurut analisis yang dibuat akhbar itu lagi, kenyataan Ahmad Zahid yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin tidak akan membawa sebarang makna sekiranya tiada menteri UMNO dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang bersetuju dengannya.

“Ketika ini, perpecahan dalam UMNO semakin ketara. Apa yang boleh dijangkakan ialah kemungkinan ada beberapa pemimpin dalam parti yang berjawatan menteri bakal dipecat kerana tidak mematuhi kenyataan presiden parti.

“Sehingga hari ini, Muhyiddin masih belum memberi sebarang reaksi terhadap kenyataan Ahmad Zahid itu. Apakah langkah balas seterusnya yang akan dilakukan oleh Muhyiddin dan Ismail Sabri kini menjadi persoalan ramai,” tulis akhbar itu lagi.
Berdasarkan perkembangan semasa, Muhyiddin dilihat masih kukuh dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri sementara semua menteri UMNO tetap menjalankan tugas mereka seperti biasa.

“Bagaimanapun, kedudukan kerajaan PN tetap dianggap rapuh dan sukar menjangkakan sampai bila kedudukan ini dapat dipertahankan,” ulas Sin Chew Daily.

Ketika mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin berharap pelantikan tersebut akan meningkatkan lagi keupayaan kerajaan PN khususnya dalam menghadapi pandemik Covid-19, memperkuatkan perpaduan dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan serta memperkukuhkan kerajaan PN dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah dan berintegriti.

“Daripada kenyataan Muhyiddin itu jelas menunjukkan beliau perlu mencari sokongan yang kuat daripada semua ahli Parlimen.

“Ini termasuklah mencari kerjasama dan mewujudkan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan parti-parti pembangkang daripada Pakatan Harapan, Parti Warisan Sabah dan Pejuang bagi menjamin kestabilan kerajaan,” kata akhbar itu.

Demi menyelesaikan pertikaian politik yang tiada kesudahannya itu, tulis akhbar itu, satu-satunya cara yang dirasakan paling sesuai ialah memberikan peluang kepada semua ahli Parlimen membuat pengundian di Parlimen sama ada menyokong Perdana Menteri atau tidak.

“Buat masa ini, tidak ada seorang pun yang akan menyokong sekiranya PRU diadakan memandangkan kes penularan Covid-19 amat serius.
“Ahli-ahli politik perlu sedar apa yang mesti diselesaikan di depan mata sekarang ialah sara hidup dan kesihatan rakyat. Selagi terus berkrisis dan kes Covid-19 makin meningkat, pastinya akan lebih ramai orang akan terkorban,” tulis akhbar itu.

*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/150664/KOLUMNIS/Henti-berpolitik-hargai-nyawa-rakyat
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Ulasan