HIMPUNAN 20 INDIVIDU DI DATARAN MERDEKA : KE MANA ARAH TUJU?





Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Petang semalam, melalui seorang teman dalam satu group whatsapp yang bertanyakan betulkah ada satu perhimpunan dibuat di Dataran Merdeka. Katanya, himpunan tersebut dianjurkan oleh mereka yang tidak berpuashati dengan kerajaan yang kononnya dilihat gagal dalam melaksanakan usaha menangani Covid19.

Secara jujurnya, saya tidak menyedari akan adanya satu usaha untuk adakan perhimpunan kerana mungkin ketika ini saya lebih menumpukan usaha-usaha kebajikan kepada masyarakat yang terkesan dengan bencana yang sedang melanda negara dan dunia secara keseluruhannya.

Keduanya, saya fikir tak mungkin akan ada usaha untuk mengadakan himpunan sedangkan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, himpunan tidak dibenarkan dan tidak munasabah untuk membahayakan rakyat dengan mengajak mereka berhimpun di tengah-tengah Kuala Lumpur ketika ini.

Beberapa portal saya 'search' dan menemui berita tentang berita tentang himpunan ini. Diberitakan bahawa 20 individu telah dikenalpasti terlibat dalam himpunan ini ;

Mengikut laporan daripada BERNAMA Online, Berita Harian Online dan Sinar Harian Online, kumpulan yang menganjurkan himpunan ini diketuai oleh Sekretariat Solidariti Rakyat yang merupakan gabungan 4 parti yang telah terlibat iaitu MUDA, PEJUANG, AMANAH dan PKR. Itu yang media laporkan, selagi tiada penafian daripada pihak yang dilaporkan terlibat maka saya menganggap ianya benar. Namun semakan saya pagi ini mendapati laporan berita Sinar Harian Online telah tiada lagi dalam radar.

Tidak dapat dipastikan sama ada memang benar parti-parti yang dilaporkan oleh media ini terlibat, namun jika mereka tak nafi maka saya anggap ianya benar. Cuma saya kesal dengan himpunan ini yang bukan sahaja melanggarkan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 iaitu Larangan Berhimpun, malah membahayakan peserta yang berhimpun dalam suasana wabak bencana COVID19 yang sedang meningkat ketika ini.
 
Pada pandangan saya, Ada baiknya anak-anak muda ini dikerahkan untuk mendaftarkan diri sebagai Sukarelawan di bawah agensi kerajaan atau pun Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang kini sedang giat melaksanakan gerakerja membantu rakyat yang terkesan dengan bencana COVID19. Di bawah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah ditubuhkan Sekretariat Tabung Bencana COVID (STBC) yang dikhususkan untuk membantu frontliner dan rakyat Malaysia dan ahli-ahli PAS telah digerakkan untuk membantu kedua-dua kumpulan masyarakat ini di semua peringkat. Saya mengalu-alukan anak-anak muda ini untuk turut sama membantu dan berganding bahu. 

Walaupun himpunan ini hanya berjaya dilaksanakan dalam tempoh 15 minit namun risiko tetap ada. Dunia kita yang kini ‘tanpa sempadan’ boleh disalurkan pandangan, bantahan dan cetusan idea melalui medsos yang pelbagai. Suasana waktu ini tidak mengizinkan untuk berhimpun secara fizikal.
 
Apapun, terima kasih kepada  Polis Daerah Dang Wangi yang diketuai Supt Naazron Abdul Yusoff telah mengendalikan keadaan dengan tenang tanpa sebarang kejadian yang tidak diingin berlaku dan telah mengarahkan kumpulan tersebut supaya bersurai dan beredar dari lokasi. 

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil 
18 Julai 2021


Ulasan