Pembangkang hanya tahu kecohkan dewan, tidak bincang isu rakyat

 

Pembangkang hanya tahu kecohkan dewan, tidak bincang isu rakyat

KUALA LUMPUR: Pembukaan Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini berjalan seperti yang dijangka apabila tidak sampai satu jam Ahli-ahli Parlimen memasuki dewan, situasi sudah menjadi tidak terkawal.

Pihak pembangkang bertalu-talu mempersoalkan keputusan kerajaan mengadakan Sidang Khas Dewan Rakyat yang menurut mereka tidak menepati kehendak Titah Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, pihak pembangkang turut membangkitkan isu backdoor government, menuduh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menyeleweng Dewan Rakyat, serta mempersoalkan hak mereka untuk mengundi di Dewan Rakyat dan lain-lain lagi.

Situasi berterusan tidak terkawal walaupun Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan cuba untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan pembangkang.

Sedangkan tujuan utama Sidang Khas Dewan Rakyat dibuka adalah bagi membincangkan isu-isu membabitkan kebajikan rakyat dan fokus mendepani cabaran utama penularan Covid-19.

Susulan itu, Takiyuddin bangkit menjelaskan bahawa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat tersebut adalah berdasarkan Peraturan Mesyuarat dan bukan kali pertama diadakan.

“Sebagaimana Standing Order (Peraturan Mesyuarat) ini adalah boleh dianggap sebagai sebahagian Perlembagaan Persekutuan kerana Peraturan Mesyuarat dibuat berdasarkan Perkara 62 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini sebahagian daripada Perlembagaan… berdasarkan kepada Peraturan Mesyuarat 11(3) yang dibaca rakan pembangkang, jelas menyatakan bahawa dalam konteks Parlimen Malaysia ada sidang biasa dan sidang khas,” katanya.

Peraturan Mesyuarat 11 (3) memberi kuasa kepada perdana menteri untuk meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat memanggil sidang khas, kata beliau sambil menunjukkan surat perdana menteri kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat mengenai agenda sidang khas ini dibuat untuk kepentingan rakyat termasuk membentangkan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat.

Sementara itu, Azhar ketika membuat keputusan berkata Mesyuarat Khas berkenaan adalah mengikut Peraturan Mesyuarat 11 (3) dan beliau telah diberi pemakluman oleh perdana menteri untuk mengadakannya demi kepentingan awam.

Beliau berkata peraturan berkenaan jelas menyatakan bahawa Perdana Menteri mempunyai hak prerogatif untuk menentukan segala urusan mesyuarat. – HARAKAHDAILY 26/7/2021

Ulasan