Tabung bencana Covid-19 PAS bantu 6,871 keluarga - Harakahdaily


 
Tabung bencana Covid-19 PAS bantu 6,871 keluarga

KUALA LUMPUR: Penubuhan Sekretariat Tabung Bencana Covid (STBC) PAS Johor berjaya mengkoordinasikan sumbangan dari seluruh negeri itu dan berjaya menyumbangkan 6,218 bakul makanan kepada 6,871 keluarga memerlukan.

Aktiviti kebajikan itu digiatkan dalam tempoh satu bulan, iaitu bermula 1 Jun hingga 30 Jun tahun ini dengan jumlah terkumpul RM71,270 melalui STBC PAS peringkat kawasan.

Dalam pada itu, STBC juga menyalurkan bantuan makanan ke kawasan-kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kluang (Felda Kahang Timur dan Ladang Tereh Mill), Mersing (Mukim Tenglu), Sekijang (Felda Redong) dan Kulai (Felda Inas).

Selain itu, STBC juga telah menyantuni frontliner di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terletak di dalam Daerah Johor Bahru.

Tidak lupa juga kepada anggota keselamatan yang bertugas sepanjang pandemik Covid-19 di lapan lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) sekitar Johor.

Menurut Pengerusi STBC PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, usaha tersebut merupakan gerak kerja berterusan dan sumbangan PAS Johor kepada frontliner dan mereka yang terkesan ketika ini.

Katanya, di Johor, PAS telah mengorak langkah mengumpulkan dana dan menggerakkan kesemua 26 PAS kawasan untuk menyantuni dua kumpulan masyarakat, iaitu sumbangan kepada frontliner dan masyarakat yang memerlukan bantuan.

Pihaknya menggabungkan para pimpinan dan petugas di bawah Khidmat Malaysia yang terdiri daripada Lajnah Kebajikan, Jabatan Amal, Briged Muslimat, NGO dan PAS Kawasan-kawasan bagi memberikan tumpuan kepada usaha membantu dua kelompok itu.

Katanya, usaha tersebut turut dibantu Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Himpunan Pendukung PAS.

Bagi merealisasikan hasrat itu, PAS Johor menggunakan pendekatan kerjasama dengan semua pihak sama ada melalui agensi kerajaan, wakil rakyat, NGO, tabung sumbangan secara atas talian (online), dan tabung PAS di semua peringkat untuk disalurkan kepada rakyat Johor.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun PERHUBUNGAN PAS NEGERI JOHOR 8006 9674 29 (CIMB BANK) dan makluman sumbangan boleh melalui Saudara Sanusi di talian +6018-2403422. – HARAKAHDAILY 17/7/2021

https://harakahdaily.net/index.php/2021/07/17/tabung-bencana-covid-19-pas-bantu-6871-keluarga/

Ulasan