TUA ADALAH SATU ANUGERAH



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Dalam kuliah Subuh Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden PAS pagi tadi, Ustaz Idris ada menyebut bahawa dua tahun lagi dia akan masuk ke 'usia emas' yang membawa makna umurnya akan masuk 60 tahun. 

Sesungguhnya TUA adalah satu anugerah yang besar nilai dan ertinya, belum tentu orang seperti saya yang muda 10 tahun dari Ustaz Idris akan bertemu dengan usia warga emas ini. 
Ada di kalangan keluarga atau saudara-mara kita yang meninggal dunia pada usia yang muda, tidak sampai pun usia 60 tahun. Ayah saya meninggal dunia pada usia 58 tahun, hanya sempat menikmati pencen sebagai guru selama 3 tahun. Itupun, sebelum meninggal dunia masih lagi menjual nasi lemak setiap pagi untuk menampung kos membesarkan anak-anak.

Dalam filem JUMANJI THE NEXT LEVEL Grandpa Eddie lakonan Danny DeVito yang pada awalnya merasakan kekesalan menjadi tua tetapi dihujung filem ini, dia berkata ; "Getting old is a gift. I forget that sometimes". Siapa yang telah menonton filem ini tentu ingat bagaimana beliau mengungkapkan kata-kata ini.

Kenapa ia dikatakan sebagai anugerah?
Pada pandangan saya ; 

1. Kita diberi peluang untuk memperbaiki apa jua kesilapan dan kesalahan yang lalu,

2. Kita dapat mendekatkan lagi diri kita kepada Allah dan memperbanyakkan taubat di atas segala dosa-dosa kita.

3. Memberi nasihat dan berkongsi pengalaman dengan generasi muda sama ada ahli keluarga atau sesiapa sahaja.

4. Melakukan lebih banyak lagi kerja kebajikan dan kemasyarakatan.

5. Menabur bakti kepada masyarakat mengikut kemampuan kita.

Sebab itu, kita sering diingatkan dengan hadith Rasulullah SAW supaya beringat tentang 5 perkara.

Dari Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan Masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi

Apapun, manfaatkan hidup kita walaupun kita masih muda kerana kematian boleh berlaku pada bila-bila masa. Mungkin juga kita sihat bertenaga tetapi esok belum tentu lagi. 

Semoga Allah permudahkan segala urusan kita, aameen ya Rabb...

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil 
22 Julai 2021

Ulasan