Setiap parti perlu berkorban untuk menang PRU15: PAS - Sinar Harian



Setiap parti perlu berkorban untuk menang PRU15: Pas

REMBAU - Setiap parti politik perlu berkorban bagi mencapai agenda kemenangan yang lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15) nanti.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pertelagahan dalam politik tidak akan membawa kepada kejayaan, sebaliknya akan merugikan banyak pihak.

Menurutnya, Pas telah membuat keputusan untuk bersama ketiga-tiga parti (UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Pas) menjelang PRU15 nanti.

"Kita tidak boleh buat satu keputusan yang boleh merugikan semua orang. Kita kena lihat dalam kerangka besar, dalam sesetengah negeri Muafakat Nasional (Pas-UMNO) sudah cukup, tetapi di negeri lain pula ada risiko besar kalau bertanding tiga penjuru.

"Kita kena lihat semua ini, sekarang kita nampak ummah sudah seronok dengan penyatuan membabitkan tiga parti utama yang menerajui kerajaan sekarang termasuk parti komponen di Sabah Sarawak.

"Bagi saya setiap orang perlu ada pengorbanan untuk mencapai matlamat yang lebih besar, konsep saya mudah sahaja yang ada jangan kedekut yang meminta jangan tamak, ini supaya kita boleh berkompromi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 di Sungai Rembau pada Ahad.

Tuan Ibrahim berkata, hubungan Pas bersama UMNO masih kekal baik, begitu juga antara Pas dan Bersatu.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/163540/BERITA/Politik/Setiap-parti-perlu-berkorban-untuk-menang-PRU15-Pas
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Ulasan