ADAKAH KELONGGARAN SESI BERSEMUKA WAJAR DIBERIKAN KEPADA CALON DI PRN JOHOR?



ADAKAH KELONGGARAN SESI BERSEMUKA WAJAR DIBERIKAN KEPADA CALON DI PRN JOHOR?


Secara umumnya saya menyokong cadangan yang telah dikemukakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh supaya sesi bersemuka ber­temu rakyat akan diberikan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada calon-ca­lon parti politik yang bakal ber­tanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. 


Mengambil kira dalam tempoh yang singkat untuk keluar berkempen, dalam suasana terdapatnya 2,599,797 orang pengundi di seluruh negeri Johor termasuklah 749,731 orang pengundi baharu yang sudah tentulah ingin mendapatkan peluang untuk mendengar dan bertemu dengan bakal calon yang mereka akan pilih sewaktu membuang undi nanti. 


Kita melihat bagaimana hambarnya kempen PRN di Melaka apabila tidak dibenarkan kepada semua calon yang bertanding untuk berkempen secara terbuka, tiada kempen dan ziarah rumah ke rumah, tiada walkabout, tiada perhimpunan malah kempen hanya difokuskan melalui medium maya sahaja. Ia dikatakan menjadi salah satu punca membawa kepada kehambaran pengundi untuk menunaikan tanggungjawab untuk keluar mengundi.


Namun dalam masa yang sama, peningkatan kes harian Covid19 perlu diberikan perhatian secara serius. Hari ini sahaja, kes baharu Covid19 meningkatkan catatan yang meningkat mendadak iaitu sebanyak 7,234 kes. Sekiranya kes terus meningkat dan tidak dapat dikawal dengan sebaiknya maka ia bukan sahaja kempen bersemuka tidak dapat dilaksanakan, malah ia mungkin membawa kepada penangguhan PRN andainya Darurat diisytiharkan.


Sekian. 


Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

4 Februari 2022


Ulasan