[VIDEO] Khairul Faizi mahu bela nasib petani, nelayan Senggarang


HUBUNGAN rapat dengan penduduk di Senggarang, Johor yang majoritinya terbabit dalam industri sawit dan pertanian membuatkan Khairul Faizi Ahmad Kamil bertekad mahu memastikan nasib mereka terbela dan meningkat ke tahap lebih baik.

Khairul Faizi yang pernah menjadi wakil Majlis Persijilan Minyak Sawit Malaysia dan juga Ahli Lembaga Pengarah Majlis Minyak Sawit Malaysia memang kerap turun ke kawasan itu dan cukup rapat dengan penduduk setempat.

Apatah lagi, beliau juga aktif dalam gerakan badan bukan kerajaan (NGO) dan pernah bertindak selaku Pengarah Khidmat Malaysia ketika membantu mangsa banjir di Batu Pahat.

Kini, Khairul Faizi berpeluang untuk terus menabur bakti secara langsung apabila dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di kerusi N24 Dewan Undangan Negeri (DUN), Senggarang, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Walaupun berasal dari Kluang, Johor, anak muda ini sudah aktif dengan kegiatan politik bersama PAS Senggarang sejak setahun lalu.

“Ini adalah penghargaan dan kepercayaan besar kerana, saya dari Kluang dan membesar di sana, bukannya di Batu Pahat. Tetapi parti berikan kepercayaan menjadi wakil di sini, mewakili PAS dan PN di Senggarang.

“Harapan besar parti kepada saya diletakkan di bahu bersama jentera PN terdiri daripada PAS, Bersatu dan Gerakan. Paling utama, saya bertanding di sini kerana penduduk di Senggarang ini adalah penduduk yang harmoni,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

Mengulas lanjut, beliau cukup yakin, mereka yang terlibat dengan industri sawit dapat melihat bagaimana kejayaan kerajaan yang telah melibatkan lembaga sawit malaysia langsung.

“Difahamkan harga sawit satu tan akan mencecah RM7,000. Mereka akan merasai nikmat peningkatan harga sawit tersebut,” katanya yang mahu memastikan sektor pertanian lain juga diberi perhatian serius kerana itulah antara sumber utama pendapatan penduduk.

Pada masa sama, katanya fokusnya juga tetap terarah kepada kegiatan industri laut khasnya nasib golongan nelayan kerana masih banyak isu yang perlu diberi perhatian.

“Saya pernah turun dan lihat bagaimana kerajaan perlu menyantuni mereka. Antara isu yang disebut ialah masalah berkaitan jeti. Saya turun dan tengok sendiri masalah ini dan melihatnya sebagai perkara yang perlu diperjuangkan.

“Ramai penduduk di sini yang bekerja dalam industri makan gaji, mereka juga bekerja di Batu Pahat walupun tinggal di Senggarang,” katanya.

Hubungan baik dengan pemimpin serta penduduk tempatan yang dibina selama ini membuatkan Khairul Faizi yakin, mereka akan memberikan kepercayaan kepadanya untuk mewakili rakyat dalam sidang DUN akan datang.

Ketika ini dianggarkan terdapat 32,000 pengundi yang berada dalam senarai daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi pada PRN Johor bagi DUN Senggarang dengan pertambahan pengundi hampir 10,000 orang.

SPR menetapkan hari penamaan calon pada 26 Februari, diikuti hari mengundi awal pada 8 Mac, manakala hari mengundi pada `12 Mac ini. – SB 

Ulasan