YOU ORANG TAN SRI MUHYIDDIN< KAMI AKAN SOKONG


CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Khairul Faizi Ahmad Kamil melihat perubahan yang luar biasa dari segi penerimaan pengundi khususnya kaum Cina terhadap wakil PAS.

Beliau yang bertanding sebagai calon PAS dalam pilihan raya sejak 2004 sebelum ini mendapati agar sukar bagi kaum Cina memberi sokongan terhadapnya lebih-lebih lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Namun kali ini, situasi agak berbeza apabila Khairul Faizi dan calon-calon PAS yang lain bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di bawah tiket PN.

Malah, berdasarkan pemerhatiannya semasa turun padang bertemu pengundi di sekitar kawasan DUN Senggarang semalam, sebahagian besar pengundi Cina berjanji akan menyokongnya kerana beliau ialah ‘orang Tan Sri Muhyiddin Yassin’.

“Bila turun tadi bila mereka lihat kepada profil calon, mereka lihat risalah-risalah yang kita edarkan, ada seorang uncle tanya, ‘You orang Tan Sri ah?’

“Saya kata ‘ya’. Saya orang Tan Sri Muhyiddin. Kalau you orang Tan Sri, kita akan support sama you dan PN,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks PAS Batu Pahat, malam tadi.

Khairul Faizi dijangka mengatasi calon-calon lain yang turut bertanding di kerusi DUN Senggarang iaitu Mohd Yusla Ismail (BN-UMNO), Baharudin Bin Abdullah (Bebas), Abd Hamid Jamah (PH-Amanah) dan Zalihah Jaffar (Pejuang).

Khairuddin A Rahim yang bertanding atas tiket PKR memenangi kerusi tersebut pada PRU-14 dengan majoriti 809 undi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon dalam ucapannya berkata, ‘graf’ sokongan rakyat Johor terhadap PN telah naik.

“KIta berharap PN akan menumbangkan dan menafikan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk kita menang PRN Johor,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju dalam ucapannya menyifatkan UMNO seperti ‘Belanda diberi tanah’.

Beliau menjelaskan, walaupun Bersatu telah memberi sokongan kepada UMNO untuk membentuk kerajaan Pusat yang baharu, pemimpin-pemimpin masih tamak kuasa.

“Lepas jadi kerajaan, UMNO dan BN kini tak ingat janji siapa yang mengangkat mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan,” ujarnya.

https://wartarakyat.com.my/index.php/2022/03/06/you-orang-tan-sri-muhyiddin-kita-akan-sokong/

Ulasan