PAS kumpul lebih sejuta ahli setelah proses pemutihan


Oleh SYAHIRAH SALLEH

SIK: PAS mengumpulkan jumlah seramai 1,003,210 ahli setelah proses pemutihan, iaitu membuang nama ahli yang sudah meninggal dunia dan tidak wujud setakat Jun tahun ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dengan rekod yang diperoleh itu membuktikan kekuatan PAS terletak kepada ahli-ahlinya.

Katanya, ahli PAS sanggup berjuang menegakkan dasar PAS, iaitu Islam dalam semua aspek kehidupan dari segi tarbiah, siyasah, kehidupan ekonomi politik dan sebagainya.

“Oleh itu, atas dasar PAS for All (PAS untuk semua), saya ingin mengajak semua pihak untuk menyertai PAS, sama ada beragama Islam atau belum beragama Islam dalam perjuangan ini,” katanya semasa berucap pada Pelancaran Kempen PAS Pilihanku 4.0 yang berlangsung di Dewan Al-Hana, di sini, hari ini.

Sementara itu, hampir 10,000 ahli baharu PAS dijangka diluluskan pada bulan sama bersempena kempen berkenaan yang berlangsung sejak 16 Jun lalu.

Takiyuddin yang juga Pengerusi Kempen PAS Pilihanku 4.0 berkata, Kedah menjuarai jumlah tertinggi dengan berjaya mengumpulkan ahli baharu PAS sepanjang lapan hari bersempena kempen berkenaan dijalankan, iaitu sebanyak 2,555 ahli baharu.

Katanya, kejayaan itu diikuti Kelantan sebanyak 1,920, Selangor (1,053), Terengganu (957), Sabah (618), Perak (585), Pahang (572), Johor (250), Pulau Pinang (200), Negeri Sembilan (137) Perlis (121), Wilayah Persekutuan (91), dan Sarawak (72).

Pada 2017, Kempen PAS Pilihanku yang pertama kali dijalankan berjaya mendaftarkan ahli baharu PAS seramai 41,953 orang.

Manakala pada tahun 2019, Kempen Pilihanku 2.0 berjaya mendaftarkan seramai 46,553 orang, dan 41,624 pada tahun berikutnya.

PAS meyasarkan untuk mendaftarkan seramai 50,000 ahli baharu PAS sepanjang tahun ini melalui Kempen PAS Pilihanku 4.0. – HARAKAHDAILY 25/6/2022

Sumber berita ; 

https://harakahdaily.net/index.php/2022/06/25/pas-kumpul-lebih-sejuta-ahli-setelah-proses-pemutihan/

Ulasan