AHLI PARLIMEN WAJAR SOKONG AKTA KAWALAN TEMBAKAU DAN ROKOK




AHLI PARLIMEN WAJAR SOKONG AKTA KAWALAN TEMBAKAU DAN ROKOK

Langkah Kementerian Kesihatan (KKM) memperkenalkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok dan akan dibentangkan di Parlimen mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak.

Usaha kerajaan untuk membendung aktiviti merokok ini telah dilakukan secara berperingkat selama ini namun memperkenalkan Akta ini dilihat mampu untuk menghapuskan rokok di negara kita.

Berita ini mungkin tidak digemari oleh para perokok namun belum ada lagi mana-mana pertubuhan yang membuat bantahan secara rasmi dibuat oleh mereka.

Akta yang akan dibentangkan ini akan melarang penjualan tembakau dan rokok elektronik kepada individu yang lahir selepas tahun 2005 dengan harapan, generasi yang berusia 18 tahun ke bawah ini akan menjadi generasi yang akan bebas dari rokok.

Generasi yang mungkin terdiri daripada anak-anak kita atau mungkin cucu-cucu kita mesti kita selamatkab mereka sebelum terjerumus ke dalam kumpulan perokok ini.

Sudah tentulah yang menjadi keutamaan ketika ini adalah di kalangan Ahli Parlimen yang akan berperanan untuk menyokong atau menolak akta ini nanti.

Tidak kiralah sama ada mereka Ahli Parlimen di pihak Kerajaan atau di pihak Pembangkang, tanggungjawab mereka sudah tentulah mesti menjurus kepada membuat keputusan untuk generasi masa hadapan negara.

Merokok adalah tabiat yang tidak menyihatkan, malah membawa kecelakaan kepada diri sendiri, keluarga dan rakan-rakan.

Seorang pengamal perubatan, Dr Arifin Fii pada awal tahun ini menyatakan bahawa terdapat kira-kira 4.8 juta perokok di Malaysia dan dianggarkan lebih daripada 27,200 kematian rakyat negara ini pada setiap tahun berkaitan dengan merokok.

Laporan media juga melaporkan bahawa kerajaan dijangka membelanjakan kira-kira RM7.4 bilion untuk rawatan penyakit utama yang disebabkan oleh merokok, seperti kanser paru-paru dan masalah jantung koronari menjelang 2025.

Justeru ini adalah masa yang terbaik untuk kita hentikan amalan merokok di kalangan rakyat Malaysia khususnya di kalangan generasi anak muda. Tidak mustahil rokok akan menjadi salah satu peninggalan sejarah yang akan dikenang sebagai produk perosak kesihatan generasi terdahulu.

Amat wajarlah Ahli-Ahli Parlimen Malaysia menyokong Akta ini.

Sekian, terima kasih.

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur 28 Zulhijjah 1443 / 28 Julai 2022

Ulasan