Jejak Arkib kumpul dokumen lama PAS



Oleh SYAHIRAH SALLEH


KUALA LUMPUR: Jabatan Arkib PAS Pusat melalui Jejak Arkib akan berusaha menjejaki dan menziarahi pimpinan PAS veteran sebagai usaha mengumpulkan dokumen lama berkaitan PAS yang ingin diwakafkan.

Pengerusinya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, usaha itu akan digerakkan melalui ziarah mantan pimpinan PAS pusat, negeri dan kawasan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Penolong Pegawai Jabatan Arkib PAS Pusat, Puan Jamilah di talian +6019-266 7231 untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Khairul Faizi lagi, Jabatan Arkib PAS Pusat juga kini dalam proses menyiapkan laman web untuk memudahkan semua pihak mendapatkan maklumat berkaitan dengan sejarah PAS serta yang berkaitan dengannya.

Sementara itu tambahnya, tugas Jabatan Arkib PAS Pusat adalah memperkemas dan memperbanyak informasi yang perlu didokumentasikan sebagai bahan rujukan bernilai bagi anggota parti dan masyarakat umum.

Katanya, jabatan itu juga ditugaskan untuk mengesan, mengumpul, menyimpan dan memelihara sebarang rekod dan maklumat yang mempunyai nilai dan sejarah yang tinggi sebagai khazanah warisan perjuangan PAS sejak ditubuhkan 71 tahun yang lalu.

Di samping itu berusaha menyediakan kemudahan rujukan dan penyelidikan serta pendokumentasian yang lebih tersusun bagi memudahkan banyak pihak membuat kajian tentang PAS untuk mendapatkan maklumat. – HARAKAHDAILY 21/9/2022

Ulasan