KHIDMAT MALAYSIA LANCAR TABUNG BENCANA BAGI PERSIAPAN MENGHADAPI BENCANA BANJIR




KENYATAAN MEDIA
TAJUK : KHIDMAT MALAYSIA LANCAR TABUNG BENCANA BAGI PERSIAPAN MENGHADAPI BENCANA BANJIR

1. Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) yang telah bersidang pada petang ini memberikan fokus terhadap persiapan bagi menghadapi bencana banjir yang dijangkakan akan berlaku pada pertengahan bulan November ini.

2. Menurut laporan rasmi yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini boleh membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan tersebut.

3. Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi. Kebimbangan tersebut ditambah lagi dengan fenomena La Nina yang masih berterusan dan dijangka sehingga awal tahun depan akan menyebabkan peningkatan taburan hujan.

4. Negara akan mengalami fasa peralihan monsun yang berlaku pada akhir September hingga awal November dan kali ini dilaporkan bahawa negeri-negeri Pantai Barat serta pedalaman Semenanjung, Sarawak (Barat dan Tengah) dan Barat Sabah di sebelah petang hingga awal malam, ribut petir akan lebih kerap berlaku berbeza dengan cuaca di waktu pagi.

5. Sejak akhir-akhir ini, Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) Khidmat Malaysia telah menerima laporan berkaitan dengan berlakunya bencana banjir kilat yang semakin kerap berlaku dan yang terkininya berlaku di negeri Johor. BGIB akan terus memantau perkembangan ini telah mengarahkan bantuan diberikan ke kawasan yang terlibat sepanjang berlakunya banjir kilat ini dan banjir kilat yang akan berlaku pada masa hadapan namun apa yang lebih diutamakan ketika ini adalah kemungkinan besar akan berlakunya bencana banjir besar pada penghujung bulan November nanti.

6. Semua entiti yang bernaung di bawah Khidmat Malaysia seperti Jabatan Amal, Briged Muslimat, Lajnah Kebajikan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGOs) serta Khidmat Malaysia di peringkat Negeri dan Kawasan hendaklah memulakan persiapan termasuklah menyediakan tenaga kerja dan peralatan yang bersesuaian dengan operasi bencana nanti. Bilik Gerakan Negeri dan Bilik Operasi di peringkat kawasan hendaklah dipersiapkan. Kelengkapan dan peralatan pentadbiran mestilah dipersiapkan.

7. Khidmat Malaysia menganggarkan sekurang-kurangnya sebanyak RM 500,000.00 diperlukan untuk menggerakkan operasi dan bantuan bencana banjir pada kali ini. Oleh itu, Khidmat Malaysia melancarkan Tabung Bencana RM100K untuk fasa pertama dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

8. Khidmat Malaysia juga melihat bahawa amaran yang dikeluarkan oleh MetMalaysia mestilah dipandang serius oleh semua pihak yang ingin merancang apa jua aktiviti pada penghujung tahun ini termasuklah terhadap gesaan supaya Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) diadakan pada penghujung tahun ini. Dengan banyak aset milik kerajaan termasuk pasukan keselamatan akan dikerah untuk membantu rakyat sekiranya berlaku banjir pada akhir tahun ini dan anggota keselamatan diberi peranan besar bagi menjaga keselamatan rakyat, sudah tentulah ia akan menyulitkan lagi keadaan.

9. Khidmat Malaysia mengambil kesempatan untuk menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir agar sentiasa berwaspada dan segera berpindah sekiranya berlaku limpahan air yang membahayakan.

“Berkhidmat Untuk Kemanusiaan, Beramal Kerana Allah”

Sekian.

DATUK HAJAH SITI ZAILAH BINTI MOHD YUSOF
Pengerusi Khidmat Malaysia
Tarikh : 30 Safar 1444 bersamaan 27 September 2022
#KhidmatMalaysia
#MalaysiaSejahtera
#keluargamalaysiateguhbersama

Ulasan