KASA: Tindakan jangka pendek dan panjang tangani banjir


 
Oleh SYAHIRAH SALLEH


KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melaksanakan tindakan jangka pendek dan panjang untuk menangani masalah banjir di negara ini.

Menterinya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tindakan jangka pendek yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memfokuskan kerja penyelenggaraan saliran, mendalamkan sungai dan meninggikan benteng sungai.

Menurutnya, JPS juga meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) dengan menyedia dan menambah baik aset jabatan.

Katanya, ini termasuk penyediaan 284 buah pam, 203 buah kenderaan dan 35 buah bot, 995 buah stesen telemetri di Semenanjung Malaysia dan 317 buah stesen telemetri di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Selain itu, sebanyak 526 siren amaran, 77 kamera dan 605 tolok lurus sungai dan 966 tolok lurus kawasan bagi mengukur kedalaman banjir di tapak disediakan,” katanya menjawab soalan Tengku Zulpuri Raja Puji (PH-Raub) di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, tindakan jangka panjang untuk mengurangkan risiko banjir di seluruh negara pula dilakukan melalui pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

Katanya, sebanyak 100 projek RTB bernilai RM10.53 bilion telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang sedang dilaksanakan di seluruh negara.

“Pelaksanaan projek-projek RTB akan meningkatkan bilangan penduduk yang dilindungi daripada kesan banjir serta pertambahan keluasan kawasan yang terjejas sebelum ini.

“Selain itu, pendekatan bukan struktur dalam perancangan pengurusan banjir seperti Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) dilaksanakan,” katanya.

Menurutnya, PRAB Fasa 3 bernilai RM450 juta akan melengkapkan 74 model ramalan dan amaran banjir bagi lembangan sungai utama yang berisiko di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 5/10/2022

Ulasan