Lebih 10,000 anggota APM digerakkan bantu PRU15 ketika banjir


MELAKA: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersedia menggerakkan asetnya termasuk 10,510 keanggotaan bagi membantu melicinkan proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri terjejas banjir jika diadakan ketika Monsun Timur Laut (MTL).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Dr Norhafifi Ismail, berkata ini bukan kali pertama APM terbabit membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan pilihan raya ketika banjir.

"Misalnya pada PRU14, kita (APM) terbabit membantu SPR dan kerajaan untuk melicinkan perjalanan pilihan raya termasuk mengangkut pengundi dalam kalangan orang kurang upaya dan mereka yang tiada pengangkutan untuk ke pusat mengundi.

"Kita membuat persiapan jika PRU diadakan ketika banjir, sama seperti kita menghadapi pandemik COVID-19 ketika banjir atau situasi 'bencana dalam bencana'.

"Jika tiada PRU, kita fokus kepada bencana banjir. Kedatangan saya ke APM Melaka dan negeri lain bertujuan meninjau dan memantau persiapan yang dilakukan dalam segenap aspek," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Bersama Warga APM Melaka 2022 di Dewan Serbaguna, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Ayer Keroh.

Yang turut hadir Pengarah APM Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim dan timbalannya, Mejar (PA) Nor Farhani Mat Husin.

Norhafifi berkata, dari segi aset tenaga kerja terdapat seramai 10,510 pegawai dan anggota APM sedia digerakkan di seluruh negara bagi operasi banjir.

"Aset logistik darat pula ada 481unit kenderaan terdiri daripada pikap, trak dan ambulans yang boleh digunakan untuk pemindahan penduduk terjejas di kawasan kritikal.

"Bagi logistik air kita memiliki 759 unit bot pelbagai saiz dan jenis termasuk fiber dan aluminium selain khemah sebanyak 64,310 unit, jaket keselamatan (5,772 helai), treler bot (508) dan genset (144 unit).

"Justeru saya rasa tiada masalah dari segi koordinasi kerja kerana latihan dan persiapan dibuat setiap tahun," katanya.

Beliau berkara, mengenai persediaan pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini terhadap 6,010 PPS diwartakan Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negara termasuk 138 di Melaka bagi menempatkan mangsa banjir.

Ulasan