Perutusan Presiden PAS sempena Maulidur Rasul 1444H

 


SEBAGAI seorang Muslim yang mencintai dan mengasihi Rasulullah SAW, tentu sekali kita sentiasa terkenang akan kisah pengorbanan Baginda SAW sehingga kita menerima cahaya Islam, hidayah daripada Allah bagi mengecapi nikmat iman dan Islam yang sangat berharga.

Rasulullah SAW memulakan langkah mendirikan negara dengan mendahulukan perpaduan umat dalam kalangan penganut Islam daripada kalangan Muhajirin dan Ansar. Termasuklah juga kabilah Arab yang lain, bersama individu bukan Arab seperti Bilal bin Rabah RA dan Salman al-Farisi RA.

Penyatuan dilakukan berasaskan kepada keimanan yang merupakan prinsip yang kukuh dalam diri manusia bagi mengawal diri mereka agar menjadi seorang yang patuh kepada petunjuk Allah SWT (Islam), sekali gus menjadikannya sebagai dasar negara. Pada masa yang sama, mengajak penyertaan masyarakat majmuk di Madinah.

Seterusnya, dimeteraikan Sahifah Madinah (Piagam Madinah) dengan penyertaan masyarakat yang menganut Islam serta golongan bukan Islam daripada bangsa Arab dan Yahudi yang tidak ekstrem. Golongan itu menolak kepimpinan mereka yang zalim dan fanatik yang menyebabkan mereka sanggup berperang dalam tempoh masa yang panjang tanpa sebarang penyelesaian.

Golongan bukan Islam menerima kepimpinan Islam yang berkonsepkan hak kemanusiaan yang hidup bermasyarakat, dengan mengadakan kerjasama dalam perkara yang baik dan tidak memaksa dalam perbezaan agama tanpa sebarang gangguan. Hal ini berlaku kerana ingin memelihara keharmonian kemanusiaan yang bermasyarakat mengikut acuan al-Quran, serta mengamalkan konsep adil kepada seluruh manusia.

Kesempurnaan Islam mengikut konsep wasatiyyah yang ditunjukkan oleh Allah SWT, model pelaksanaan yang bijak oleh Rasulullah SAW dan generasi awal, telah berjaya menjadikan Islam diterima oleh masyarakat majmuk. Pendekatan Rasulullah SAW secara matang dan sejahtera dalam menguruskan negara bermasyarakat majmuk seharusnya menjadi panduan kepada kita bagi membina sebuah negara Malaysia yang sejahtera.

Sunnah Baginda SAW menjadi panduan dan asas bagi menghayati perjuangan yang akan terus dilangsungkan oleh umat Islam pada hari ini. Jadikan kepimpinan Rasulullah SAW sebagai acuan dalam melaksanakan agenda penyatuan umat yang terkandung dalam makna umat dakwah dan umat ijabah.

Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan Maulidur Rasul kali ini dengan menguatkan iltizam kita bersama dalam menegakkan sunnah Baginda SAW sepanjang hayat. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan atau perbarisan dan berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah SAW dengan mengamalkan serta menegakkan segala suruhan Baginda SAW, dan meninggalkan serta berusaha menghalang segala perkara yang dibenci oleh Baginda SAW.

Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah SAW dan beroleh cinta Allah SWT dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1444H.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
12 Rabi’ul Awwal 1444 / 9 Oktober 2022 – HARAKAHDAILY 9/10/2022

Ulasan