5 ADUN UMNO Sabah kecam tindakan cetus krisis politik, desak Bung Moktar letak jawatan


KOTA KINABALU: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) Sabah mengecam tindakan Datuk Seri Bung Moktar Radin membawa parti itu bersama UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, sekali gus mendesak beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.

Dalam satu kenyataan bersama, hari ini, ADUN daripada UMNO Sabah terbabit menegaskan mereka kesal dengan tindakan Bung Moktar itu, serta terkilan kerana Sabah dan rakyatnya sekali lagi diheret ke dalam krisis politik yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Mereka ialah ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya; Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut); Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

"Bersama-sama rakyat Sabah, kami berpegang teguh dengan kepercayaan bahawa ini bukan masanya untuk merebut kuasa politik.

"Sebaliknya, sudah tiba masanya untuk bersatu agar kerajaan negeri sekarang dan semua pihak dapat terus menumpukan masa, tenaga serta sumber untuk memulih dan memajukan ekonomi negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat," menurut kenyataan itu.

Mereka turut mengaku terkejut dengan tindakan beberapa pihak tertentu, khususnya Bung Moktar yang berusaha menjatuhkan Kerajaan Sabah yang sah ketika ini.

"Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan itu dan mendesak beliau meletak jawatan sebagai Ketua UMNO Sabah dengan serta-merta. Ini kerana tindakan beliau itu mencemarkan nama baik parti.

"Kami dengan ini mengisytiharkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri yang sah di sisi perlembagaan," kata mereka.

Lima ADUN terbabit berkata, sebagaimana aspirasi rakyat Sabah, mereka juga mahu kestabilan politik dikekalkan dan menolak sebarang cubaan atau tindakan mana-mana pihak yang ingin menimbulkan kekacauan serta keresahan rakyat.

"Bersama-sama kita berdoa semoga kemelut politik ini segera berakhir agar usaha untuk memakmurkan Sabah yang tercinta ini dapat diteruskan," katanya.

Ulasan