ANTARA GAJAH DAN MANUSIA : MANA LEBIH TERANCAM?


ANTARA GAJAH DAN MANUSIA : MANA LEBIH TERANCAM?

Konflik di antara Gajah dan Manusia kembali menghiasi media sosial dan media cetak apabila baru-baru ini telah dilaporkan bahawa dua ekor gajah telah dikesan berkeliaran sehingga merosakkan pagar rumah penduduk di Taman Perdana, Kluang.

Berita bertajuk "2,000 penduduk resah gajah ganggu kawasan kediaman" telah disiarkan oleh Harian Metro membayangkan kepada kita bahawa keresahan menghantui penduduk di Taman Perdana ini yang sering berhadapan dengan gangguan serangan gajah dan ianya berlarutan sejak beberapa tahun yang lalu.

Untuk rekod, Taman Perdana terletak kira-kira 6 kilometer dari bandar Kluang arah ke Mersing dan Taman Perdana terletak bersebelahan dengan sebuah kawasan yang dinamakan Kampung Gajah.

Konflik manusia dan gajah terus menjadi tajuk perbincangan sehingga menyebabkan timbul persoalan ; siapa yang sebenarnya terancam, adakah manusia yang terancam atau sebaliknya.

Awal minggu ini, seorang remaja Orang Asli di Kampung Tual, Andy Yok Manin, seorang remaja berusia 15 tahun telah meninggal dunia dipercayai akibat serangan gajah semasa berada di kebun durian di kampung tersebut. Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang telah menjalankan operasi bagi menangkap kumpulan gajah ini sebelum perkara yang tidak diingini terjadi lagi

KLUANG MULA POPULAR DENGAN GAJAH

Isu kehadiran gajah telah secara tidak langsung mempopularkan Kluang dengan gajah. Ada yang berseloroh dengan mencadangkan supaya diwujudkan supaya Kluang dijadikan kawasan melawat gajah.

Mana tidaknya, tahun lalu sahaja, sekurang-kurangnya tiga kali kehadiran sekawan gajah dapat dikesan di sekitar kawasan Taman Sri Impian Kluang.

Akhir tahun lalu juga, seekor gajah dipercayai tersesat dan memasuki kawasan Penjara Kluang. Gajah ini terpisah dari kumpulannya yang dikenali sebagai ‘Grup Tenang’, yang difahamkan kira-kira 15 ekor.

GAJAH SPESIS TERANCAM

Gajah dikategorikan sebagai hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) di Semenanjung Malaysia dan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 di Sabah, di samping tidak boleh diimport dan dieksport kecuali untuk tujuan penyelidikan atau pertukaran zoo.

Tahun lalu, mantan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan menyebut bahawa populasi gajah di Malaysia ketika ini dianggarkan antara 1,220 hingga 1,680 ekor dan taburan populasi haiwan liar yang terancam ini direkodkan di tujuh negeri iaitu Kedah, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

MANUSIA MENDAPAT ANCAMAN GAJAH

Dalam masa yang sama, kita juga tidak dapat untuk menafikan bahawa manusia juga terancam dengan kehadiran gajah.

Mengikut rekod Perhilitan, sebanyak 3,325 aduan konflik manusia dan gajah dilaporkan sejak 2015 hingga 2021 manakala sebanyak 435 aduan telah diterima sepanjang bulan Januari - Jun 2022.

Oleh itu, Kerajaan terus berusaha untuk memelihara gajah dengan pelbagai usaha dilaksanakan oleh Perhilitan bagi menangani konflik manusia dan gajah termasuk menubuhkan pusat konservasi gajah di Pahang, Terengganu serta Johor.

Antara usaha lain adalah dengan mengambil tindakan segera dengan menghalau semula kumpulan gajah ini kembali ke habitat asalnya seperti yang dilakukan di Kluang.

Disebabkan Gajah adalah haiwan yang dikategorikan sebagai Terancam maka setiap tahun, Sambutan Hari Gajah Sedunia diadakan pada 12 Ogos sebagai usaha untuk menyedarkan kita dengan situasi sebenar yang mereka sedang hadapi.

PENUTUP

Konflik gajah dan manusia bukanlah perkara baru kerana ia sudah bermula sejak 1950-an selepas penjajah Inggeris pada masa itu aktif membuka tanah untuk kegiatan pertanian seperti getah, kelapa sawit, koko dan kopi terutamanya di Perak, Kedah, Johor dan Negeri Sembilan.

Ia secara tidak langsung menyebabkan habitat gajah terganggu kerana sebahagian kawasan tempat tinggal gajah yang dilitupi hutan dijadikan sebagai lokasi penanaman dan tindakan ini dilihat mengganggu habitat gajah menjadi ancaman terbesar kepada kepupusan haiwan ini.

Tidak dinafikan bahawa dalam isu ini, ancaman dirasai oleh manusia dan gajah namun usaha memelihara gajah perlu diberikan perhatian.

Oleh kerana itu, usaha untuk memelihara gajah-gajah ini perlu dipertingkatkan seperti mana yang sedang dilakukan selama ini.

Harimau mati meninggalkan belang,
Gajah mati meninggalkan gading,
Manusia mati meninggalkan nama.

Sekian.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Yang Dipertua PAS kawasan Kluang
13 Januari 2023

Ulasan