Jumlah mangsa banjir di Sabah melonjak kepada 6,313 orang



KOTA BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Sabah melonjak ke 6,313 orang daripada 2,187 keluarga yang dipindahkan ke 26 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah, setakat jam 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, ia membabitkan lima daerah iaitu Paitan, Pitas, Kota Marudu, Kudat dan Lahad Datu.

Sebanyak 11 PPS diaktifkan di Kota Marudu, tujuh PPS di Paitan, empat PPS di Pitas, tiga PPS di Kudat dan satu PPS di Lahad Datu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, tiga PPS dengan jumlah mangsa tertinggi ialah SK Ranau (Kota Marudu) dengan 1,280 mangsa.

"Ini diikuti dengan SM Advent Goshen (Kota Marudu) dengan 711 mangsa dan Dewan SK Sikuati (Kudat) dengan 628 mangsa.

"Trend semasa situasi banjir di negeri ini masih menunjukkan peningkatan dengan penambahan jumlah mangsa di PPS," katanya.

Sementara itu, di Sarawak, seramai 56 mangsa banjir daripada 15 keluarga ditempatkan di dua PPS di daerah Lundu selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat semalam.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak berkata, daripada jumlah itu, seramai 39 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sebat, manakala seramai 14 lagi mangsa daripada enam keluarga di PPS Balai Raya Kampung Sebat Dayak.

"Kedua-dua PPS itu dibuka pada jam 11.15 malam tadi dan masih aktif hingga jam 8 pagi ini. Kediaman mangsa dinaiki air selepas hujan lebat berlaku sejak petang semalam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, di Kampung Telaga Air, tiga kediaman penduduk turut dinaiki air.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, banjir itu menjejaskan seramai 25 penghuni tiga rumah terbabit bagaimanapun, tiada pemindahan penduduk dijalankan.


Ulasan