Kelantan pungut hasil RM983.42 juta tahun 2022


KOTA BHARU: Kelantan berjaya meningkatkan prestasi pungutan hasil sebanyak RM983.42 juta pada tahun 2022 berbanding 2021 (RM209.94 juta).

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kutipan hasil berkenaan menghampiri 99.16 peratus daripada anggaran bajet tahun 2022.

“Tahun 2023 merupakan penggal terakhir bagi Dewan Undangan Negeri Kelantan Ke-14 yang bakal menyaksikan cabaran tersendiri terutamanya kelembapan sektor ekonomi.

“Namun Kelantan kekal stabil dalam menguruskan negeri dan kebajikan rakyat.

“Ini adalah berkat keutuhan prinsip perjuangan Islam dan sokongan rakyat hasil pemahaman dan penghayatan terhadap prinsip perjuangan,” katanya pada majlis Amanat Khas Tahun Baharu di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kub, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhammad, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

Ahmad juga berkata, penghujung penggal ke-14 menyaksikan pencapaian manifesto PRU-14 berada pada tahap yang cemerlang iaitu melebihi 90 peratus merentasi kesemua 14 tawaran.

Katanya juga menerusi dasar Membangun Bersama Islam dan pendekatan Merakyat Membangun Bersama Islam, tawaran manifesto dilaksana melalui Halatuju Portfolio Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri 2018-2023. – HARAKAHDAILY 5/1/2023

Ulasan