'Kita ada sokongan majoriti 44 ADUN, terus tadbir Sabah' - Hajiji



KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, mendakwa pihaknya mempunyai sokongan majoriti membabitkan seramai 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk terus mentadbir Sabah.

Beliau berkata, jumlah itu merangkumi 29 ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan tujuh daripada Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Selain itu, lima ADUN UMNO yang tidak menyertai tindakan menarik balik sokongan kepada pentadbiran pimpinan Hajiji digerakkan oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Badan Perhubungan UMNO negeri.

Selebihnya, masing-masing seorang ADUN Dilantik mewakili PAS, ADUN Bebas dan ADUN Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

Hajiji yang juga Pengerusi GRS mendakwa dengan bilangan sokongan itu, kerajaan sedia ada bawah pimpinannya masih kukuh untuk terus mentadbir negeri ini.

"Kita mempunyai sokongan majoriti dengan seramai 44 ADUN di Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini bermakna kerajaan sedia ada yang saya pimpin ini masih utuh serta kuat dan akan terus mentadbir Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan semua ADUN berkenaan di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengesahkan sudah menghantar akuan bersumpah (SD) kesemua 44 ADUN menyokongnya, ke Istana Seri Kinabalu pada perjumpaan dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, semalam.

Mengenai isu perlembagaan yang dibangkitkan Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan (WARISAN) pula, beliau berkata, perkara itu boleh dibawa ke mahkamah untuk diselesaikan.

"Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati, mereka boleh membawanya ke mahkamah," katanya.

Terdahulu, kesemua 44 ADUN Sabah yang menyokong pentadbiran bawah kepimpinan Hajiji, berkumpul di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, di sini, dalam perjumpaan yang bermula kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Sebelum ini, Bung Moktar dan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony, dilapor membangkitkan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah yang antara lain menetapkan seseorang Ketua Menteri mesti seorang ketua parti yang mendapat sokongan majoriti ADUN.

Mereka mendakwa Hajiji sudah hilang sokongan majoriti berikutan tindakan UMNO dan BN Sabah menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Berikutan itu, ketiga-tiga pemimpin terbabit memohon Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk melaksanakan fungsi selaku Ketua Negeri dengan menyemak pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah yang dibaca bersama Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah.

Ulasan