Tolong tangguh kenaikan OPR!




Laporan muka depan Utusan Malaysia semalam berkaitan jumlah individu bankrap boleh mencecah lebih 30,000 kes tahun ini amat merunsingkan.

Ia kerana semakin ramai peminjam tidak mampu membayar ansuran bulanan jika Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan sehingga 3.25 peratus bulan ini.

Jumlah itu berdasarkan jangkaan pertambahan sebanyak 10,000 lagi kes individu muflis pada tahun ini selepas 20,258 kes dicatatkan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 antara 2020 hingga November 2022.

Peningkatan kes bankrap boleh berlaku jika 1,000 rakyat Malaysia diisytiharkan muflis setiap bulan seperti yang berlaku pada 2018 dan 2019 ketika Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar OPR kepada 3.00 dan 3.25 peratus pada 2018 dan 2019.

OPR ialah kadar ditetapkan BNM yang menentukan kadar faedah untuk institusi kewangan yang meminjamkan wang antara satu sama lain untuk tempoh satu malam.

Dalam bahasa mudah, ia antara langkah yang diambil untuk mengekang inflasi. Inflasi antara lain bermaksud, duit banyak di pasaran tetapi barang terhad. Secara umumnya, inflasi merupakan kenaikan harga yang berlaku bagi barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa tertentu.

Yang menjadi masalah, setiap kali OPR dinaikkan, peminjam menjadi mangsa. Apa tidaknya, jika dulu kita bayar ansuran rumah RM900 sebulan, kini terpaksa bayar sehingga RM1,300 sebulan.

Itu tak masuk kenaikan harga barangan lain. Harga ayam standard terkini sejak 12 Oktober lalu yang ditetapkan kerajaan adalah RM9.40 sekilogram di Semenanjung Malaysia. Kira-kira lapan bulan sebelum ini iaitu Februari 2022, harga siling ayam standard di Semenanjung adalah RM8.90 sen.

Lazimnya, paling tidak kita akan berhutang atau meminjam untuk membeli rumah dan kenderaan sama ada kereta atau motosikal. Jika setiap satu item itu mengalami kenaikan bayaran maknanya perbelanjaan bulanan kita akan meningkat. Kecairan atau wang tunai di tangan makin menipis.

Ini belum mengambil kira kenaikan kos tambang bas ke sekolah, harga makanan di kantin dan pelbagai kos lain. Memang memeningkan kepala peminjam dan stress dibuatnya.

Walhal pada masa yang sama, bank-bank komersial terus mencatat keuntungan berganda. Maybank mencatat keuntungan bersih RM2.17 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, meningkat 28.5 peratus berbanding setahun sebelumnya.

Kumpulan Public Bank pula mencatat keuntungan sebelum cukai RM6.31 bilion dan keuntungan bersih milik pemegang saham sebanyak RM4.41 bilion untuk sembilan bulan pertama 2022.

Sebuah bank lagi, CIMB Group Holdings Bhd (CIMB Group) meraih keuntungan bersih teras RM4.73 bilion bagi tempoh sembilan bulan 2022, melonjak 23.2 peratus tahun ke tahun.

Dengan keuntungan sedemikian, bank-bank diharap bertimbang rasalah kepada para peminjam. Jangan dinaikkan lagi OPR sebaliknya, cadangkan penstrukturan semula bayaran pinjaman. Lebih utama adalah menyelesaikan masalah penawaran bekalan dalam negara bagi mengatasi inflasi dalam jangka panjang. – UTUSANMohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.



Ulasan