Apa pendirian kementerian terhadap pengiktirafan UEC


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta Menteri Pendidikan menyatakan apakah pendirian terhadap pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Beliau meminta kementerian itu menyatakan pendirian berhubung permohonan untuk menginstitusikan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).

Tuan Guru yang juga Presiden PAS mengemukakan soalan itu pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Soalan-soalan daripada Ahli Parlimen PAS dan PERIKATAN NASIONAL di Dewan Rakyat pada hari ini sebagaimana berikut:

Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [Pokok Sena] minta Menteri Perladangan Dan Komoditi menyatakan tindakan strategik jangka masa pendek dan jangka masa panjang Kementerian bagi mengurangkan beban para penoreh getah berikutan kejatuhan harga komoditi getah ketika ini.

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [Tumpat] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan berapa bilangan taska OKU di seluruh negara berbanding nisbah bayi dan kanak-kanak OKU didaftarkan dan apakah insentif kewangan yang diberikan dalam membangunkan kanak-kanak OKU sejak daripada bayi.

Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan apakah usaha Kerajaan bagi menambah baik Tapak Arkeologi Sungai Batu di Lembah Bujang, Kedah yang merupakan tapak penting bagi sejarah ketamadunan manusia. Jika tiada, perincikan sebabnya dan apakah langkah-langkah membangun, menyelaras dan menilai pelaksanaan kepada Tapak Arkeologi Sungai Batu.

Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Menteri Perpaduan Negara menyatakan sejauh manakah keberhasilan Indeks Perpaduan di Malaysia yang dijalankan oleh Institut Kajian Etnik, UKM dalam menangani masalah perpaduan di Malaysia.

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [Sik] minta Menteri Pendidikan menyatakan hala tuju Kementerian secara holistik bagi mengukuhkan aliran pendidikan nasional yang bertunjangkan Falsafah Pendidikan Negara untuk menghasilkan generasi ‘watani’ di peringkat rendah dan menengah serta universiti.

Tuan Fathul Huzir bin Ayob [Gerik] minta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan apakah tindakan Kementerian untuk merancakkan sektor pelancongan di daerah Hulu Perak memandangkan daerah ini kaya dengan produk pelancongan berteraskan alam semula jadi dan bersempadan dengan negara Thailand.

Datuk Haji Awang bin Hashim [Pendang] minta Menteri Perpaduan Negara menyatakan apakah langkah yang telah diambil bagi memastikan bangsa Siam khususnya tidak tercicir dalam aspek pembangunan mahupun bantuan yang disalurkan Kementerian.

Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan apakah perancangan terkini Islamic Tourism Centre of Malaysia dalam memartabat Malaysia sebagai pusat pelacongan Islam dan mesra pelancong Muslim (Muslim-friendly tourism) di persada antarabangsa.

Tuan Kalam bin Salan [Sabak Bernam] minta Menteri Perladangan Dan Komoditi menyatakan bagaimana libat urus Kerajaan dan pihak industri serta agensi agensi berkaitan untuk menaikkan kembali harga kelapa sawit dan menurunkan harga barang keperluan berasaskan sawit yang tinggi permintaannya demi kesejahteraan rakyat.

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [Kuala Kedah] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah pelan tindakan yang telah diambil oleh Kementerian untuk memulihkan semangat pelajar daripada masalah keciciran khususnya di luar bandar dan pinggir bandar selepas era pandemik Covid-19.

Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Mohd. Yassin [Pagoh] minta Menteri Kewangan menyatakan adakah Kerajaan akan membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar bagi meringankan beban kehidupan rakyat.

Tuan Zakri bin Hassan [Kangar] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kementerian Pendidikan selama ini telah berjaya mengurangkan beban guru di sekolah.

Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah pendirian Kementerian terhadap pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan permohonan untuk menginstitusikan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).

Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [Setiu] minta Menteri Pendidikan menyatakan perancangan jangka pendek Kementerian bagi menangani isu 13 peratus kanak-kanak hujung usia persekolahan sekolah rendah tidak mahir membaca yang dikeluarkan oleh Dokumen Keciciran Pendidikan Malaysia 2023.

Dato’ Sri Saifuddin Abdullah [Indera Mahkota] minta Menteri Pendidikan menyatakan pendirian berkenaan pentaksiran murid di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah sama ada KPM akan melaksanakan semula UPSR dan PT3 dengan mengambil kira bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) telah pun melaksanakan pentaksiran murid dengan memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) yang merangkumi PBD, PAJSK dan ujian akhir kalendar akademik. Ini dilaksanakan susulan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai tahun 2021 dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mulai tahun 2022.

Datuk Haji Muslimin bin Yahaya [Sungai Besar] minta Menteri Pendidikan menyatakan adakah rancangan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menaik taraf Kolej Tingkatan Enam seluruh Malaysia yang setara dengan Kolej Matrikulasi dari segi prasarana dan setakat ini berapa peratus pemusatan Tingkatan Enam dilaksanakan.

Dato’ Haji Abdul Khalib bin Abdullah [Rompin] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan:-

(a) apakah langkah strategik ke arah mengatasi isu bekalan makanan asas dalam negara; dan

(b) adakah Kementerian mempunyai perancangan tertentu untuk mempertingkatkan kapasiti pengeluaran hasil-hasil pertanian dalam negara yang boleh menyumbang kepada keterjaminan bekalan makanan dalam negara.

Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim [Gua Musang] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah perancangan Kerajaan dalam mewujudkan Kolej Tingkatan Enam secara menyeluruh ke setiap negeri, bilangan kolej bagi setiap negeri dalam jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Menteri Pendidikan menyatakan langkah terkini Kementerian dalam menyediakan pembantu guru bagi mengurangkan bebanan tugas guru seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH.

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Besut] minta Menteri Kerja Raya menyatakan status projek pembinaan jejambat di bandar Jertih yang sangat diperlukan untuk mengelak kesesakan yang selalu berlaku terutama pada musim cuti dan perayaan.

Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman [Bachok] minta Menteri Kewangan menyatakan pendirian Kerajaan sama ada bercadang untuk mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memandangkan Kerajaan berdepan dengan keperluan untuk melebarkan hasil cukai dalam negara.

Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal [Bukit Gantang] minta Menteri Pendidikan menyatakan adakah projek pembinaan Sekolah Pendidikan Khas di tanah Pendidikan Simpang (Tanah PTP PT 280/ HSD 25368 dan Tanah PTP PT 281/ HSD 25369) akan diteruskan di bawah Kerajaan baharu ini. Bilakah pecah tanah atau mula projek boleh dilaksanakan.

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [Beluran] minta Menteri Kewangan menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan sama ada pihak Kerajaan berhasrat untuk memasukkan kumpulan rentan khususnya gelandangan agar diletakkan di bawah mana-mana Kementerian secara khusus.

Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [Kuala Langat] minta Menteri Pendidikan menyatakan:-

(a) apakah dasar pembangunan sekolah arus perdana/kebangsaan di kawasan pembangunan bandar-bandar baharu; dan

(b) kenapa perlunya tapak-tapak sekolah yang telah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan diserahkan semula kepada Kerajaan Negeri sekiranya belum ada peruntukan pembangunan.

Tuan Nurul Amin bin Hamid [Padang Terap] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan jumlah pampasan yang dibayar Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi mengekalkan tanaman padi berjumlah RM111 juta, sepertimana yang dituntut Kerajaan Negeri. – HARAKAHDAILY 16/2/2023

Ulasan