Kelewatan bantuan banjir dibangkitkan di Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, meminta kerajaan memperjelaskan bantuan segera yang dijanjikan kepada mangsa banjir di Rantau Panjang yang masih belum diterima.

“Saya telah menghubungi Pejabat Jajahan bagi mendapat gambaran mengenai bantuan tersebut, namun bantuan belum lagi diterima mangsa banjir,” katanya ketika mengajukan soalan tambahan ketika sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan rungutan mangsa banjir di Rantau Panjang yang belum lagi menerima bantuan `one off’ sebagaimana lazim yang berlaku sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika menjawab memberitahu bahawa Kerajaan Pusat sudah menyalur peruntukan sebanyak RM68 juta kepada Kelantan dan Terengganu melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebelum banjir berlaku.

Menurutnya, keseluruhan peruntukan kepada NADMA bagi menghadapi banjir tahun lepas ialah sebanyak RM280 juta.

Katanya, bantuan segera kepada mangsa banjir sepatutnya diagih sebelum mereka pulang ke rumah dari Pusat Penempatan Sementara (PPS).

Sementara itu, Siti Zailah juga meminta Kerajaan Pusat menyegerakan kelulusan pam berkuasa tinggi ke Rantau Panjang yang telah dilulus Kerajaan Pusat sebelum ini.

Katanya, pam tersebut perlu dihantar sebelum Oktober memandangkan musim Monsun Timur Laut akan berlaku selepas itu.

Ahmad Zahid memberitahu, kerajaan telah meluluskan peruntukan pam berkuasa tinggi yang akan ditempatkan di Rantau Panjang.

Menurutnya, proses menempatkan pam tersebut sedang dalam tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob, kerana turut hadir ketika lawatan ke lokasi banjir di negeri terbabit, Disember lepas. – HARAKAHDAILY 16/2/23

Ulasan