Nepotisme PKR jangan diheret ke dalam kerajaan



AMALAN nepotisme oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang melantik anaknya sendiri, Nurul Izzah, sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri adalah pengkhianatan kepada rakyat Malaysia.

Pelantikan ini bukan sahaja tidak wajar, salah, serta merosakkan imej kerajaan, malah bertentangan sama sekali dengan amalan tadbir urus baik, berintegriti dan bebas rasuah.

Pro bono bukan alasan untuk menghalalkan nepotisme dan tindakan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pelantikan anaknya adalah sesuatu yang amat memalukan, lebih-lebih lagi Tan Sri Hassan Marican sudah pun bertindak sebagai penasihat kepada Perdana Menteri.

Ternyata Malaysia Madani hanyalah retorik kosong kerana keutamaan Perdana Menteri nampaknya lebih terarah kepada ahli keluarga sendiri berbanding menyelesaikan isu kos sara hidup, menangani cabaran ekonomi serta meneroka pasaran baharu untuk Malaysia.

YAB Perdana Menteri perlu menarik balik pelantikan ini. Nepotisme dalam PKR tidak boleh diheret sama ke dalam pentadbiran kerajaan. Walk the talk please.

DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDIN
Ketua Pembangkang – HARAKAHDAILY 31/1/2023

Ulasan