Perincikan penggunaan ‘sumber’ dalam laporan berita




KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim, meminta kerajaan memperincikan status penggunaan `sumber’ dalam laporan wartawan walaupun maklumat yang disampaikan adalah tepat.

Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengapa amalan tersebut tidak dihalang jika ‘sumber’ yang digunakan memberi maklumat yang tepat.

“Kenapa tidak kita beri syarat perkataan sumber itu tidak boleh disebut? Sebab ada juga Menteri yang sebut sesuatu, tetapi dia kata ‘Jangan sebut i (saya) tau’. Jadi (mereka menggunakan perkataan) sumber. Padahal benda itu benda benar.

“Jadi perkataan sumber ini, adakah akan dipastikan supaya tiada pemberitaan berdasarkan mengikut ‘sumber’ tetapi mengikut yang sebenar?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Bersetuju dengan pandangan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata kemungkinan amalan tersebut memerlukan titik keseimbangan antara ‘sumber’ yang dikatakan benar dan tidak benar.

Bagaimanapun katanya, pihaknya ambil maklum wartawan mempunyai hak dalam memastikan keselamatan identiti sumber mereka.

“Tetapi ia perlu diseimbangkan dengan isu fitnah, contoh baru-baru ini sebuah syarikat Awesome TV yang menerbitkan satu laporan berita fitnah.

“Mengatakan berdasarkan sumber atau cadangan bahawa kerajaan berhasrat untuk membuang lebih 800,000 pegawai penjawat awam,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/2/2023

Ulasan