KHIDMAT MALAYSIA TUMPU MENANGANI BENCANA



KENYATAAN MEDIA
KHIDMAT MALAYSIA TUMPU MENANGANI BENCANA

Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (KHIDMAT MALAYSIA) bermesyuarat semalam di Kangar, Perlis telah membuat beberapa ketetapan mengenai beberapa bencana yang sedang dan berkemungkinan akan melanda negara.

Ketika ini, negara sedang menghadapi ‘bencana’ strok haba yang telah pun menyebabkan beberapa kematian kesan dari perubahan cuaca yang sangat panas. Khidmat Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan media pada 2 Mei 2023 berkaitan dengan perkara ini dengan memberikan panduan dan nasihat kepada masyarakat awam untuk terus meningkatkan kewaspadaan terhadap kesan strok haba melalui penyebaran risalah.


Bencana kedua adalah berkaitan dengan bencana El Nino yang dijangka akan dialami oleh negara bermula bulan ini dan dijangkakan akan berlarutan sehingga bulan September yang akan datang.

Satu kenyataan media telah dikeluarkan pada 2 Mei 2023 yang mana Khidmat Malaysia menggesa supaya persiapan awal terhadap bencana ini perlu dipertingkatkan oleh semua pihak khususnya pihak kerajaan yang terlibat secara langsung dengan bencana ini.

https://khidmatmalaysia.net/2023/05/02/fenomena-el-nino-apakah-persiapan-kerajaan-bagi-menghadapi-bencana-ini/

Mengimbau semula kepada kesan El Nino terhadap negara dan rakyat sebelum ini, isu berkaitan dengan kesan terhadap kesihatan, pencemaran udara dan krisis bekalan air yang pernah dihadapi sudah tentulah memberikan kesan kepada kehidupan seharian.

Oleh kerana itu, Khidmat Malaysia menggesa supaya kerajaan bersiapsiaga bagi memastikan sekiranya El Nino melanda negara, segala persediaan bagi menghadapinya telah disiapsiagakan. Pengalaman lampau yang tragis perlulah dielakkan ataupun sekurang-kurangnya diminimakan.

Antara perkara yang perlu diberikan perhatian adalah berkaitan dengan bekalan air yang sudah pastinya diberikan keutamaan kerana ia adalah sumber penting kepada setiap kehidupan sama ada manusia, haiwan malah tumbuhan. Keduanya, sebagai persiapan terhadap masyarakat, kempen penerangan dan kesedaran perlu digerakkan. Ketiganya, kerajaan perlu segera mempertingkatkan segala bentuk bantuan perubatan dan kecemasan seperti ubat-ubatan untuk mangsa dan alat bantuan memadam kebakaran sekiranya berlaku kebakaran.

Bencana Ketiga adalah berkaitan dengan kebarangkalian akan berlakunya gempa bumi di Malaysia seperti mana yang telah dinyatakan oleh beberapa orang pakar yang berkaitan dengan bidang geologi dan gempa bumi.

Khidmat Malaysia telah pun memberikan respon melalui satu kenyataan media yang telah disiarkan pada 28 April 2023. Melihat kepada perkembangan semasa dengan pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku, Khidmat Malaysia menggesa supaya pihak kerajaan mengambil tindakan dan inisiatif awal, antara adalah memberikan kesedaran kepada rakyat secara menyeluruh tentang kemungkinan-kemungkinan akan berlakunya bencana gempa dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

https://khidmatmalaysia.net/2023/04/28/kebarangkalian-gempa-bumi-di-malaysia-semua-pihak-perlu-berwaspada/

Oleh kerana perkara yang bakal berlaku ini (El Nino dan Gempa Bumi) dilihat sebagai satu ancaman kepada negara, beberapa keputusan telah dicapai semalam untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh berlaku.

i. Merangka pertemuan rasmi dengan agensi kerajaan yang berkaitan dengan gempa bumi

ii. Merangka perbincangan dua hala dengan pakar geologi dan gempa bumi

iii. Menetapkan dua Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Khidmat Malaysia yang merupakan Ahli Parlimen Malaysia untuk mengetuai ‘taskforce’ yang akan memfokuskan kepada tindakan lanjut.

Khidmat Malaysia akan terus komited untuk bertindak dalam membantu menangani bencana yang berlaku di dalam negara mengikut kepakaran yang dimiliki ketika ini. Kerjasama yang dibina dengan agensi kerajaan dan NGO yang lain akan diteruskan kerana matlamat utama kita adalah untuk kesejahteraan masyarakat Malaysia.

Sekian.

BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN
BERAMAL KERANA ALLAH

YANG BERHORMAT DATO’ SITI ZAILAH BINTI MOHD YUSOFF
Pengerusi Khidmat Malaysia
Ahli Parlimen Rantau Panjang
8 Mei 2023

Ulasan