Konflik di Sudan dan kepentingan terhadap percaturan geopolitik dunia



APAKAH punca sebenar konflik antara tentera Sudan dan kumpulan separa tentera Rapid Support Force (RSF) atau lebih tepat lagi antara Jeneral Abdel Fattah Al Burhan dan Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo? Adakah ia sebenarnya masalah dalaman Sudan atau kemungkinan ada desakan, campurtangan asing yang memainkan peranan di sebalik tabir untuk kepentingan masing-masing?

Bagi menjawab persoalan di atas, wajar dilihat kepada dua aspek iaitu pertama negara yang berkepentingan dengan Sudan dan kedua persaingan kuasa antara Barat dan pakatan China-Rusia.

Pertama: Negara yang berkepentingan dengan Sudan

Kedudukan Sudan yang bersempadan dengan Ethopia menjadikannya sangat signifikan kepada Mesir dalam krisis Empangan al-Nahdhah yang menjadi isu utama hubungan antara Mesir dan Ethopia. Bagi Mesir, penerusan projek tersebut oleh Ethopia mengancam sumber air sungai Nil yang menjadi nadi utama sejak zaman berzaman. Sebagai langkah strategik Mesir mengeratkan hubungan dengan Sudan pasca Omar al-Basyir dengan menghantar tenteranya di beberapa lokasi di Sudan. Konflik yang berlaku ini sikit sebanyak merencatkan perancangan Mesir dalam menghadapi seterunya Ethopia.

Rusia melihat Sudan sebagai satu rakan strategik kerana kedudukannya yang signifikan sebagai pintu ke benua Afrika melalui pelabuhan di Laut Merah. Buat masa ini media Barat melakukan propaganda kononnya Rusia terlibat dalam konflik di Sudan melalui tentera upahan dari Wagner Group yang membantu pihak yang sedang bertelagah di Sudan.

China pula melihat Sudan sebagai sebuah negara yang amat penting baginya kerana sumber buminya yang pelbagai dan kaya dengan bahan galian seperti emas, uranium dan lain-lain lagi.

Israel saat ini sangat khuatir dengan perkembangan yang berlaku di Sudan kerana ia bakal merencatkan perancangan normalisasi hubungannya dengan negara-negara Arab dan Dunia Islam yang ditaja oleh Barat dan beberapa negara Arab yang bersekongkol dengannya khususnya UAE. Dibimbangi jika situasi ini berterusan, ia bakal mengembalikan Sudan seperti zaman Omar al-Basyir yang menyokong kuat perjuangan pembebasan Palestin dari cengkaman negara haram Israel.

Barat meneliti dengan penuh berhati-hati perkembangan yang sedang berlaku kerana ia bakal mengancam banyak kepentingannya di Timur Tengah dan benua Afrika. Tujuan utama Barat adalah untuk menyekat pengaruh Rusia dan China serta memastikan keselamatan negara haram Israel terjamin.

Kedua: Persaingan Kuasa antara Barat dan Pakatan China-Rusia

Sebelum berlakunya konflik di Sudan, terdapat sekurang-kurangya empat peristiwa penting yang berlaku di Timur Tengah yang berkait rapat dengan persaingan kuasa-kuasa besar dalam mengembangkan kuasanya di Dunia Islam khususnya Timur Tengah.

1. Perjanjian pemulihan hubungan Arab Saudi-Iran

Perjanjian pemulihan hubungan antara Arab Saudi dan Iran yang diusahakan oleh China boleh dianggap sebagai “satu malapetaka“ oleh Amerika Syarikat dan sekutunya terutama negara haram Israel. Ia dilihat oleh Amerika Syarikat sebagai peralihan pemusatan kuasa Timur Tengah yang diterajui oleh Arab Saudi kepada seteru mereka iaitu China dan merosakkan usaha Amerika Syarikat untuk memencilkan Iran di kalangan negara Timur Tengah.

Pelan pemulihan hubungan tersebut berlaku dengan kadar yang amat pantas sehingga pada ketika ini telah berlangsung proses pembukaan Konsulat dan Kedutaan di samping telah bermulanya hubungan perdagangan dan ekonomi antara Arab Saudi dan Iran. Terlepasnya Arab Saudi kepada China akan memberi impak buruk kepada pengaruh Barat di Timur Tengah sama ada dari sudut geopolitik, ekonomi dan ketenteraan.

2. Proses pemulihan hubungan Turkiye-Syria

Ketika ini sedang berjalan rancak proses pemulihan hubungan antara Turkiye dan Syria yang diusahakan oleh Rusia. Jika berjaya, ia bermakna satu lagi malapetaka besar akan menimpa Barat yang diterajui Amerika Syarikat. Syria sebagaimana Iran telah berjaya “dilumpuhkan“ oleh Barat dengan mengenakan pelbagai sekatan. Amerika Syarikat menjajah satu pertiga bumi Syria yang kaya dengan hasil bumi iaitu minyak dan gas.

Sebagaimana China, Rusia juga adalah seteru utama Barat apatah lagi ketika ini sedang berlaku perang proksi Barat yang diterajui NATO dengan Rusia di Ukraine. Jika Rusia berjaya meleraikan kekusutan antara Turkiye dan Syria, ia akan membuka ruang yang lebih besar kepada kesatuan antara negara Dunia Islam di Timur Tengah yang sememangnya amat ditakuti oleh negara haram Israel di samping mampu menjadi petanda akan bermulanya kebangkitan Dunia Islam di Timur Tengah yang akan menolak pengaruh dan kekuasaan Barat.

3. Ketidakstabilan politik di negara haram Israel

Barat ketika ini sedang berusaha keras untuk mententeramkan kekusutan politik yang sedang berlaku di negara haram Israel. Namun dalam masa sama, golongan ekstrimis berhaluan kanan zionis Israel yang memegang tampuk pemerintahan ketika ini dengan beraninya menolak campur tangan Barat dalam urusan dalaman mereka.

Kebangkitan golongan ekstrimis berhaluan kanan zionis yahudi ini sebenarnya telah memberikan kelebihan besar kepada perjuangan pembebasan bumi Palestin yang saat ini menerima dokongan yang lebih kuat kebanyakan negara Dunia Islam terutamanya dari Timur Tengah yang sebelum ini kelihatan amat suram.

Di samping itu juga pergolakan di negara haram Israel ketika ini jika berlaku dalam tempoh yang panjang dijangka akan melemahkan kedudukan Barat di Timur Tengah yang selama ini bergantung kepada negara haram Israel untuk melemahkan musuh-musuh mereka seperti Iran dan Syria.

4. Perluasan kuasa dan pengaruh China dan Rusia

Barat ketika ini telah mula sedar akan impak besar China dan Rusia di Timur Tengah samada dari sudut geopolitik, ketenteraan dan ekonomi. Sekian lama Barat menggunakan strategi “Pecah dan Perintah” ke atas Dunia Islam melalui pelbagai perjanjian seperti Sykes-Picot, Pangkor dan lain-lain lagi sehingga menjadikannya kuasa tunggal sejak Perang Dunia Pertama sehingga ke hari ini.

Setelah tamatnya Perang Dingin dan runtuhnya Soviet Union, timbul kuasa-kuasa baharu yang mencabar hegomoni Barat. Secara ringkasnya seteru Barat ketika ini iaitu China dan Rusia telah mengadakan pakatan dan menggunakan pendekatan lebih lunak sehingga berjaya meredakan ketegangan antara negara-negara Timur Tengah. Ini telah mengusarkan Barat dan menjadi mimpi ngeri dalam usaha untuk mengekalkan kekuasaannya.

Maka disebabkan itu terdapat pandangan dari pengkaji geopolitik dunia yang berpendapat bahawa Barat sebenarnya yang mencetuskan kembali konflik di Sudan dalam usaha “menghuru-harakan“ kembali Timur Tengah dan merosakkan segala agenda pemulihan hubungan yang sedang diusahakan China dan Rusia. Apa yang sedang berlaku, secara tidak langsung akan menggagalkan segala usaha China dan Rusia sekaligus menyekat perluasan pengaruh dua kuasa ini di Timur Tengah.

Sama-sama kita doakan agar keadaan kembali tenang di Sudan dan pihak-pihak yang bertelagah kembali ke meja rundingan untuk meneruskan proses peralihan kuasa secara aman. Walaupun dalam keadaan gencatan senjata masih lagi berlaku pertempuran, tanda-tanda awal akan berakhirnya konflik di Sudan sudah mula muncul secara beransur-ansur.

“Malaysia Sejahtera”

YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 6/5/2023

Ulasan