2015: Saya pernah dipelawa sertai DAP



KISAH benar yang boleh dikategorikan sebagai ‘The True & Untold Story’ yang berlaku 8 tahun yang lalu ketika dua orang sahabat saya bersama staf pejabat mereka datang menziarahi saya di rumah pada 24 Julai 2015.

Sahabat saya, YB Liew Chin Tong dan YB Tan Hong Pin datang ke rumah sempena Aidilfitri dan ketika itu sebahagian daripada ahli PAS telah mula bergerak keluar parti untuk menubuhkan parti baharu yang kemudiannya dikenali sebagai PAN.

Saya masih ingat lagi kata-kata Chin Tong,

“Faizi, I ingat you yang akan ikut keluar PAS sebab you lebih progresif dari mereka yang keluar parti.”

Saya kata pada Chin Tong bahawa apa yang saya buat selama ini hanyalah pendekatan saya, bukannya perjuangan saya.

Mungkin sebab saya dilihat berpakaian, bergaul malah cari berfikir dan bertindak dilihat lebih terbuka maka saya dijangkakan akan sukar untuk selari dengan pasukan kerja yang masih bersama dengan PAS.

Tanpa saya nafikan bahawa sebahagian besar sahabat yang sezaman dengan saya telah bertindak keluar PAS.

Kerana keakraban kami bertiga maka sebelum mereka pulang, Chin Tong telah mempelawa saya untuk menyertai DAP. Lebih-lebih lagi suasana pada ketika itu kelihatan seperti PAS sedang lemah dan dilemahkan oleh tindakan mereka yang keluar dari parti.

Setelah berfikir sejenak akhirnya saya mendapat ilham berikut,

“Lim Kit Siang, sebelum ini pernah menggerakkan projek Tanjung Satu, Tanjung Dua dan Tanjung Tiga untuk tawan Pulau Pinang. Walaupun gagal dan ramai di kalangan mereka telah tiada dan telah meninggalkan perjuangan DAP tapi Kit Siang tetap ‘istiqamah’ dalam perjuangannya.”

“Saya pun macam Kit Siang, walaupun ketika ini PAS dilihat sedang lemah tapi saya akan terus beristiqamah dengan PAS sebab saya yakin dengan perjuangan PAS.”

Jawapan spontan saya ini menyebabkan Chin Tong tersenyum tanda menghormati pendirian saya. Apapun saya masih menghormati beliau dan hubungan saya dengan kedua-dua mereka masih berterusan sehingga ke hari ini.

Alhamdulillah, PAS kini semakin mara ke hadapan, didukung oleh para ahli yang ikhlas. Pendekatan kita mungkin berbeza tetapi apa yang penting dasar kita tetap sama.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
25 Julai 2023 – HARAKAHDAILY 25/7/2023

Ulasan