Insiden bakar Al-Quran: Malaysia perlu bertindak lebih tegas



PAS mengutuk keras perbuatan provokatif dan melampau seorang warga Iraq yang tinggal di Sweden membakar naskhah Al-Quran di luar sebuah masjid utama di Stockholm pada Rabu lepas sewaktu umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha.

PAS juga merakamkan rasa amat terkilan terhadap keputusan pihak berkuasa negara berkenaan yang sebelum itu memberi kebenaran kepada individu terbabit untuk berbuat demikian atas nama kebebasan bersuara.

Ini bukanlah kali pertama insiden sedemikian berlaku di negara berkenaan susulan pendirian pihak berkuasanya, sementara semua bentuk bantahan daripada banyak negara dan pihak sebelum ini juga gagal menghalang perkara yang sama daripada terus berlaku.

Justeru, PAS percaya kerajaan Malaysia perlu mengambil langkah lebih tegas dan aktif bagi menunjukkan keseriusan kita dalam isu ini, selain mengetengahkan mesej keamanan dan persaudaraan yang dibawa oleh Islam dan turut menjadi dasar dan pegangan negara kita.

Selain mengeluarkan kenyataan rasmi atau memanggil wakil Sweden ke negara ini bagi menyampaikan protes kita, PAS juga menggesa kerajaan, khasnya Kementerian Luar, supaya memanggil pulang duta kita ke negara berkenaan sebagai langkah bantahan yang lebih tegas.

Selain itu, kerajaan juga boleh berperanan secara lebih aktif di pentas dan forum antarabangsa bagi menggembleng suara dan tindakan dunia dalam menghalang dan memberi tekanan kepada kerajaan serta pihak berkuasa

Sweden daripada terus bersikap sambil lewa terhadap perbuatan yang jelas tidak menyumbang kepada muafakat serta keamanan dunia, selain merupakan jenayah kebencian yang ditujukan khusus kepada Islam dan umat Islam.

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 2 Julai 2023 – HARAKAHDAILY 2/7/2023

Ulasan