Baddrol ada ketokohan, pengaruh tersendiri




ALOR SETAR: “Tiada pengalaman politik bukan halangan bagi seseorang calon baharu pilihan raya untuk menempa kemenangan.
“Ini kerana calon PN bukan bergerak sendirian, kita ada jentera dan petugas membantu mencapai kemenangan,” kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya.

Sebelum berlangsung perlawanan sebenar, katanya tidak tahu lagi siapa yang menang atau kalah, sama ada calon baharu atau lama.

“Lawan dahulu, baru tahu siapa yang menang. Belum lawan lagi, bagaimana boleh jadi hakim meramalkan calon itu menang atau kalah,” katanya ketika ditemui di sini.

Sebelum itu, beliau menghadiri perjumpaan dengan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Kompleks PAS Kedah, hari ini.

Baru-baru ini, bekas Adun Beserah, Datuk Jamal Nasir Ismail, dilaporkan menyifatkan calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Baddrol Bakhtiar berpotensi kalah kerana tiada pengalaman politik.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, biarpun percubaan pertama ikon bola sepak negara itu, Baddrol mempunyai ketokohan dan pengaruhnya tersendiri.

Beliau yakin dengan sokongan anak-anak muda, pengundi dan kekuatan jentera PN, potensi untuk menang masih besar.

Sementara itu, calon PN DUN Pedu, Mohd Radzi Mat Amin, tidak gentar berdepan calon bekas menteri pada PRN kali ini.

Beliau yang merupakan penyandang DUN Pedu menyifatkan pertarungan dua penjuru dengan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Seri Mahdzir Khalid sebagai perkara biasa.

“Persaingan hebat jugalah. Tetapi saya tidak gentar,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Pak Su Die.

Jika diberi mandat rakyat sekali lagi, katanya perkara yang akan menjadi tumpuan ialah melaksanakan projek yang dapat menambah pendapatan golongan kurang berkemampuan.

“Selain menyambung usaha yang dibuat sebelum ini, saya akan cuba menjayakan projek ekonomi yang dapat menambah pendapatan rakyat miskin,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2023

Ulasan