Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh

 




PERPADUAN bukan sahaja seruan yang dilaungkan melalui pepatah melayu tetapi seruan perpaduan itu juga dianjurkan oleh Islam melalui firman Allah yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekelian kepada tali Allah (Islam) dan jangan kamu bercerai berai.’ (Al-Imran: 103)

Dalam ayat di atas Allah memerintahkan kita umat Islam seluruhnya, tidak kira bangsa dan warna kulit, tua atau muda, lelaki dan perempuan seluruhnya disuruh bersatu padu. Perpaduan itu pula berteraskan kepada Islam. Berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam suatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) Rasulnya.” (An-Nisa’: 59)

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya supaya berpegang teguh kepada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, kitab Allah dan sunnah Rasulullah. Peri pentingnya perpaduan umat itu Rasulullah SAW di permulaan pembentukan negara Islam di Madinah Baginda telah Mempersaudarakan sesama Islam iaitu antara Muhajirin dan Ansar.

Begitu juga Rasulullah SAW telah mempersaudarakan antara kabilah-kabilah yang ada di Madinah iaitu antara Aus dan Khazraj dan seterusnya telah menyatupadukan seluruh rakyat di Madinah yang terdiri daripada berbilang-bilang bangsa dan agama, mereka dapat hidup aman damai di bawah pemerintahan Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW.

Allah Taala telah mengingatkan umat Islam supaya bersatu dan jangan berpecah belah kerana ianya boleh menjadi lemah dan hilang kekuatan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantah, kalau tidak kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu. Dan bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati) sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al-Anfal: 46)

Allah Taala juga sangat mengasihi orang-orang yang berjuang untuk mempertahankan agamanya dalam satu saf yang tersusun rapi. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk mempertahankan agamanya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saf: 4)

Dalam suasana politik di Malaysia yang baru selesai menghadapi pilihan raya di enam buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor, walaupun keputusannya sangat memberangsangkan yang menyebelahi bangsa Melayu dan Islam tetapi hakikatnya belum mencapai matlamat yang dicita-citakan iaitu selain daripada memenangi dan menguasai Kelantan, Kedah dan Terengganu, parti-parti Melayu Islam sepatutnya dapat merampas dua buah negeri lagi iaitu Selangor dan Negeri Sembilan.

Kegagalan ini antara sebabnya ialah kerana peratusan orang yang keluar mengundi agak rendah iaitu tidak sampai 75 peratus. Para penganalisis politik meramalkan jika peratusan yang keluar mengundi melebihi 85 peratus kemungkinan besar Negeri Sembilan dan Selangor dapat dirampas daripada gabungan PH-BN. Padahal pemimpin besar Melayu Islam seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Muhiyuddin Yassin dan lain-lain pemimpin telah menyeru supaya pengundi-pengundi keluar mengundi beramai-ramai tetapi tidak berapa diendahkan.

Satu lagi sebabnya ialah kerana orang orang Melayu Islam tidak sepenuhnya bersatu padu untuk memenangkan Islam dan Melayu Bumiputera. Ada di antara orang-orang Melayu yang menyokong DAP, ada yang menyokong PKR, Muda, BN Umno dan lain-lain. Selain daripada itu parti-parti yang dipimpin oleh orang Melayu Islam terlalu banyak melebihi sepuluh buah parti politik seperti Umno, PAS, Bersatu, PKR, Pejuang, Muda, Perkasa, Berjasa, PRM, PBM dan lain-lain sehingga menyebabkan orang-orang Melayu keliru mana satu parti yang hendak dipilih. Manakala kaum Tionghua hanya mempunyai dua buah parti sahaja iaitu MCA dan DAP. Mereka keluar mengundi sehingga 98 peratus dan solid memilih DAP dalam PRU yang lalu sehingga DAP mempunyai 42 Ahli Dewan Rakyat, padahal kaum Tionghua di Malaysia hanya ada tidak lebih dari 30 peratus.

Kita masih optimis bahawa parti Melayu Islam boleh bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 nanti iaitu PAS, Bersatu dan Umno kerana ketiga-tiga parti tersebut tidak banyak bezanya. PAS menekankan berlandaskan Islam, manakala Umno dan Bersatu menekankan berdasarkan kepada kebangsaan. Pada hakikatnya Melayu dan Islam berpisah tiada. Oleh yang demikian ayuh kita kembali kepada perpaduan umat, kerana dengan perpaduan umat sahaja kita dapat mengekalkan dan mengembalikan kekuasaan Melayu Islam di tanah air tercinta ini.



DATO’ DR. MAHFODZ MOHAMED
Pengerusi Sidang As Sabiqun PAS Pusat – HARAKAHDAILY 18/8/2023

Ulasan