Bukti Muhyiddin mangsa fitnah politik – Wan Ahmad Fayhsal




KUALA LUMPUR: Pembebasan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan bahawa beliau adalah mangsa fitnah politik.

Ketua Armada Nasional Kuala Lumpur, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyatakan kesyukurannya di atas pembebasan Muhyiddinb daripada empat pertuduhan Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan sumbangan dana politik kepada parti Bersatu dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

“Saya juga ingin memberikan satu penghargaan dan ucapan tahniah buat barisan peguambela yang diketuai oleh Datuk Hisyam Teh Poh Teik di atas kejayaannya mengendali kes ini dengan baik,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Machang menyatakan pembebasan ini telah membuktikan bahawa pertuduhan yang dibuat ke atas Muhyiddin adalah tidak berasas dan bermotifkan politik.

“Perkara ini amat jelas membuktikan bahawa pertuduhan ini amat cacat dan bermotifkan politik yang bertujuan untuk mencemarkan nama baik Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Tambah beliau, tindakan sebegini adalah bertujuan untuk melemahkan sokongan rakyat terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri (Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Pulau Pinang).

“Walau bagaimanapun, hari ini telah membuktikan kebenaran bahawa segala dakwaan dan tohmahan jahat terhadap YB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti Bersatu adalah suatu fitnah.

“Malah, mahkamah pada hari ini juga mendapati bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau adalah tidak berasas justeru tidak dapat dipertahankan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun supaya meletakkan jawatan serta-merta berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi itu pada hari ini. – HARAKAHDAILY 15/8/2023

Ulasan