Dr Mazri calon berkelayakan, pilihan terbaik




MUAR: Dr Mazri Yahya merupakan calon terbaik dan berkelayakan untuk diberi mandat menjadi Adun Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 9 September nanti.

Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir berkata, rugi jika pengundi di Simpang Jeram tidak mengundi Dr Mazri menjadi wakil rakyat di DUN tersebut.

Menurutnya, jentera kempen PAS Selangor akan memastikan krediabiliti Dr Mazri diketahui oleh penduduk di Simpang Jeram.

“Selangor akan membantu jentera PN Johor bagi memastikan Dr Mazri menjadi Adun kedua untuk PAS di negeri Johor.

“Kami akan bawa aura dan semangat Selangor di Simpang Jeram dengan harapan rakyat di sini akan mengundi Dr Mazri,” katanya.

PAS Selangor, kata beliau telah mengarahkan 20 daripada 22 kawasan PAS negeri itu untuk turun membantu jentera pilihan raya Johor.

Beliau yakin dapat membantu kemenangan di Simpang Jeram berdasarkan pengalaman yang baru dilaksanakan pada pilihan raya umum negeri dengan keputusan yang baik di Selangor.

Katanya, daripada keputusan pilihan raya negeri di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan memang jelas ketara gelombang rakyat yang berlaku.

Katanya bukan sahaja ‘gelombang hijau’ iaitu berlaku dalam kalangam kaum Melayu B40 yang duduk di luar bandar tetapi Melayu yang duduk di bandar juga menganggap PERIKATAN NASIONAL adalah alternatif yang terbaik dalam suasana politik hari ini. – HARAKAHDAILY 27/8/2023

Ulasan