Dr Mazri: Doktor pakar yang merakyat




INSAN ini wajar diberikan peluang untuk mewakili rakyat Simpang Jeram, dengan karisma dan kompetensi kepimpinan yang beliau miliki. Aku mengenalinya kurang daripada sedekad, namanya mencuat dalam harakatul ummah ini pasca 2015 apabila sebahagian besar pemimpin Badan Perhubungan PAS Johor telah meninggalkan jamaah dan membentuk parti baru yang mesra DAP. Ustaz Abdullah Husin dan Dr Mohd Mazri Yahya antara pimpinan yang kekal memimpin harakatul ummah di negeri selatan, tempat tembuni Umno ditanam pada tahun 1946.

Sesepuh perjuangan Islam di negeri ini seperti Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok, Dato’ Dr Mahfodz Mohamad turun segera ke akar umbi untuk menyuntik elemen young blood ke dalam organisasi PAS Johor, kawasan-kawasan, dewan-dewan. Teringat aku apabila menghadiri program-program dalaman di Johor, kebanyakan muka baru dengan guratan wajah jernih dimana sebahagian mereka ditajnid peringkat kampus dalam dan luar negara.

Johor agak berbeda dengan negeri-negeri yang PAS berakar daripada kegiatan jihad ta’lim. Dekad 80-an dahulu, tanah selatan ini membidani ramai anak-anak seni dan pelbagai kumpulan rock. Pelbagai konsert digalang termasuk majlis kenduri kawin akan diadakan persembahan kugiran. Manakala zaman milinea, Johor mula menjadi gergasi bola sepak tanah air dan membentuk karektornya yang tersendiri sehingga memunculkan istilah ‘Bangsa Johor’.

Dr Mazri dibentuk melalui acuan Johor, bahasanya sopan dan santun, memilih dengan cermat setiap patah perkataan untuk diluncurkan. Dr Mazri, Faizi, Ustaz Dollah adalah contoh karektor Johor, cuma Khairul Faizi Ahmad Kamil mula keluar daripada watak bangsa Johor setelah asimilasi sub budaya dengan kawan-kawan daripada Pantai Timur dan Kedah.

Aku turun berprogram di Markas Tarbiah Johor Baharu di mana Dr Mazri adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Johor Baharu, beliau memastikan anak-anak buahnya tak menyepikan program persiapan fikrah. Memang tak mudah membangunkan bangunan jamaah di kawasan selatan Semenanjung ini. Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor ini aktif dalam membantu ummat dimedan lapangan. Antara jawatan beliau ialah Timbalan Pengarah Khidmat Malaysia, sebuah gerakan swadaya yang membantu mangsa banjir, tanah runtuh, menggalang pelbagai misi bantuan kemanusiaan dalam dan luar negara.

Dalam kerjaya, beliau diiktiraf sebagai cemerlang dalam bidangnya, seorang doktor perubatan yang bergabung dengan PAPISMA memberikan komen, “Dr Mazri ni orang yang hebat, dia pakar bedah vaskular, bukan calang-calang. Di Johor, masa saya HO dulu, semua kes nak buat tapak dialisis, kena rujuk kat dia. Nak buat pembedahan berkait vessels ni memang perlukan kesabaran, ketelitian, fokus yang lama. Tak semua mampu ambil bidang Dr Mazri”.

Sosok berjiwa rakyat ini juga pernah membantu di peta luka umat Islam Gaza dan Syria, bersama MERCY. Pernah juga menyantuni mangsa gempa bumi di Turkiye dalam tragedi yang meragut puluhan ribu nyawa. Derita insan lain menggamit beliau untuk membantu dan berkolaborasi dengan pelbagai wadah bantuan kemanusiaan. Dr Mazri juga mantan Naib Pengerusi PAPISMA Pusat, Pengerusi PAPISMA Johor dan beberapa NGO kebajikan yang lain di negeri ini.

Beliau antara sahabat yang awal bersetuju untuk menanggung perbelanjaan pendidikan anakanda arwah Bob Lokman di Kompleks Tahfiz an Nur Setiu. Bekas pelajar Sekolah Sains Kluang ini mendapat keputusan cemerlang dalam SPM, seterusnya ke Matrikulasi Sekolah Alam Shah dan ke Fakulti Perubatan UKM. Di peringkat pengajian tinggi beliau berjinak dengan gerakan Islam pelajar dan mengasah kepimpinannya dalam pelbagai program asrama dan kampus.

Aktivis rakyat ini juga berkhidmat secara probono di Hospital Sultanah Aminah Johor Baharu, bahkan sebagai tenaga akademik di Kolej Universiti KPJ sejak 2015 yang lalu. Apabila ditanya oleh wartawan sebaik sahaja pengumuman penamaan calon Simpang Jeram, apakah misi beliau untuk Johor. Sepantas kilat meluncur kata-kata genius daripada figura bidang perubatan ini, “Saya ingin memecahkan pandangan kolot di Johor, bahawa PAS ini parti lebai…tidak! PERIKATAN NASIONAL/PAS adalah terdiri daripada pelbagai latarbelakang pemimpin, ramai profesional yang bersedia memberikan khidmat kepada masyarakat Johor”.

Dr Mazri, sebagai sahabat yang tak lokek ilmu, menyintai lingkungan, setia dengan jamaah, mempunyai pemikiran analitikal dan kritis. Beliau memprihatin kondisi kesihatan sahabat-sahabat pimpinan yang lain. Antara yang sering ditegur, budaya makan-makan lewat malam dalam program PAS, mengesyorkan agar pemeriksaan kesihatan berkala kepada semua pimpinan.

Saat aku diuji dengan sakit pasca Covid, Dr Mazri mengambil berat kondisiku di hospital selepas pembedahan usus. Insan ini sangat layak menjadi jurubicara ummah di DUN Johor, jom warga Simpang Jeram, pastikan 9 September ini, kemenangan milik PN dan Dr Mohd Mazri Yahya. – HARAKAHDAILY 26/8/2023

Ulasan