Kedudukan jenayah syariah negeri kian tergugat



NIK Elin Zurina Binti Nik Abdul Rashid atau dikenali sebagai ‘Nik Elin’ telah mencabar 21 seksyen kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang terkandung di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Cabaran tersebut dibawa kepada Mahkamah Persekutuan agar Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan peruntukan-peruntukan di atas adalah tidak sah dan terbatal. Alasannya, negeri tidak mempunyai kuasa pun untuk membuat apa-apa undang-undang jenayah kerana ia merupakan kuasa Persekutuan.

Kebiasaan kes semakan kehakiman ‘Judicial Review’ ataupun kes mencabar peruntukan undang-undang ini, akan bermulakan dengan pemohon dikenakan apa-apa tindakan sama ada ditangkap, disiasat, dituduh dan/atau disabitkan oleh mana-mana badan yang bertanggungjawab.

Mari kita lihat beberapa kes yang pernah berlaku:

1. Kes Iki Putra Mubarak v Kerajaan Negeri Selangor dan Anor.

Kes ini bermula dengan seorang yang bernama Iki Putra yang telah ditangkap dan dituduh melakukan kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkenaan liwat atau seks luar tabii. Selepas itulah, baru Iki Putra buat permohonan di peringkat Persekutuan untuk mencabar peruntukan pada enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor tersebut.

2. Kes SIS (Forum) v Kerajaan Negeri Selangor.

Siapa tidak mengenali SIS. Pertubuhan ini telah difatwakan sebagai sesat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Terkesan dan tidak berpuas hati dengan keputusan fatwa tersebut, SIS telah mencabar permohonan untuk mencabar Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor dengan menyatakan bahawa badan undang-undang negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang tersebut.

Tetapi, perkara yang berbeza berlaku di dalam kes Nik Elin ni. Nik Elin mengambil tindakan untuk membuat cabaran walaupun dia dan/atau anaknya tidak pernah lagi dikenakan apa-apa tindakan di bawah mana-mana peruntukan di atas.

Tidak lain tidak bukan, kita boleh katakan bahawa cabaran yang dibuat ini adalah salah satu daripada beberapa usaha melalui litigasi berstrategi ‘Strategic Litigation’ yang bertujuan untuk mengurangkan dan menghapuskan Undang-undang Syariah. Mereka merancang secara tersusun dan terperinci dengan tujuan untuk mencapai objektifnya.

Bahkan, perkara ini bukanlah baharu sebenarnya. Sejak dahulu lagi mereka mereka telah merancang dan menjalankan usaha-usaha untuk mencabar perundangan Islam, namun perkara tersebut menemui jalan buntu.

Namun, setelah hujah Doktrin Struktur Asas ‘Basic Structure Doctrine’ dan ‘Judicial Power’ diterima semula walaupun sebelum ini telah ditolak bertahun-tahun lamanya oleh Hakim-hakim seperti Raja Azlan, Tun Abdul Hamid dan lain-lain, maka cabaran mereka telah berjaya.

Rentetan daripada kes Nik Elin ini, kemungkinan cabaran-cabaran akan dilakukan secara besar-besaran kepada enakmen jenayah syariah negeri-negeri dalam membatalkan peruntukan-peruntukan kesalahan jenayah syariah.

Perkara ini sedikit sebanyak akan menghakis kuasa undang-undang negeri yang diberikan kuasa oleh Persekutuan untuk menggubal Undang-undang Islam di negeri masing-masing.

Justeru, sebenarnya ada tangan-tangan ghaib yang cuba untuk menggugat kedudukan agama Islam di tanah air kita melalui melalui segenap cara yang mampu dilakukan.

Sangatlah dangkal bagi seseorang yang hanya melihat kepada alasan bahawa ‘Islam tidak dapat dipinda oleh mana-mana pihak walaupun mencapai majoriti 2/3 Dewan’ dalam menyatakan Islam masih lagi selamat.

Ayuhlah, bersama mempertahankan ini walau apa latar belakang politik kita.

DZAFIR FIRDAUS AHMAD ZUBAIRY
Pengamal Undang-undang – HARAKAHDAILY 22/8/2023


Ulasan