Kempen PN berkesan, gelombang sokongan berterusan




ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan PERIKATAN NASIONAL (PN) di Kedah berada dalam kedudukan yang tepat pada PRN ini biarpun berdepan cabaran besar dari Kerajaan Persekutuan.
Pengarah Pilihan Raya PN itu melihat, gelombang sokongan rakyat kepada PN pada PRU15 yang lalu masih lagi berlanjutan dan beliau percaya ia akan memberi kesan besar kepada keputusan PRN ini.

Menurut beliau, kesukaran menentang satu rejim secara tradisi dahulu, sudah berbeza pada masa kini di mana banyak menggunakan media sosial yang juga menjadikan sebaran semakin pantas setanding media arus perdana.

“Walaupun kita tak dapat media mainstream, tak boleh masuk TV, liputan pun tak ada. Tapi alhamdulillah untuk sekarang ni maklumat kita cepat juga. Mengguna kaedah-kaedah lainlah. Saya rasa saingan dari segi penggunaan media kempen kita berkesan.

“Seminggu ni tak nampak yang kekok lah. Tak ada lagi dengar tak mahu, sangkut tang ni sangkut tak nu dak. Semua smooth (lancar) saja,” ujarnya menyifatkan ia satu perkembangan yang baik.

Keadaan tersebut akui beliau, dibantu dengan hampir setiap orang ketika ini mempunyai peranti sendiri hinggakan maklumat sampai ke ‘dapur rumah’ dan kepada golongan warga emas sekalipun.

PN juga beritahu beliau, semakin berkesan melaksanakan kempen pada PRN ini kerana Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah bersama berbanding ketika PRU15 dahulu adalah dua pasukan berasingan.

Sanusi turut menyokong hujah bahawa gelombang sokongan kuat kepada PN berdasarkan kemenangan PH pada PRU14 dahulu dengan majoriti besar, telah diterbalikkan dengan majoriti besar diperolehi PN pada PRU15.

Menyentuh serangan diterima pada PRN ini, beliau melihat ia tidak terkesan kepada rakyat di negeri ini kerana serangan tersebut dilakukan orang luar yang bertindak secara keterlaluan hingga dilihat jahat oleh rakyat.

“Kita dah jawab sepenuhnya apa yang kita ada, saya rasa tak ada apa yang nak disembunyikan pun. (Mereka) duk duk bina naratif, bina persepsi bahawa kita ada salah laku, tatakelola tak betul apa semua. Benda-benda itu telah dijawab oleh jabatan-jabatan dan agensi.

“Dan kita pun dengan penuh keyakinan sebab kita tak dak buat salah apa. Kita confident isu ni tak akan pergi ke mana-mana pun. Akhir sekali dia akan makan tuan. Depa akan makan, makan diri depa.

“Kita jawab apa yang fakta sebenar, yang ada di pihak kita kerajaan negeri. Adapun selepas pada itu mereka nak mereka-reka nak menambah-menambah, itu terpulang. Kita serahlah kepada masyarakat untuk menilai. Sekarang ni kita jawab apa yang patut saja,” jelasnya.

Menghurai situasi tersebut, Sanusi menyifatkan sokongan rakyat kepada PN adalah disebabkan reaksi rakyat yang dapat melihat dan menilai tumpuan sangat besar diberikan Kerajaan Persekutuan ke Kedah ketika ini.

Menurutnya, rakyat dapat melihat jentera Persekutuan dan ramai Menteri serta Timbalan Menteri turun ke negeri ini sedangkan bukan Kedah sahaja yang sedang berdepan dengan pilihan raya.

“Secara organiknya disebarkan (serangan itu) akan lebih kukuhlah (reaksi rakyat). Saya nampak seimbang macam COVID19 bila serang kita punya body (badan) pun menghasilkan antibodi yang kuatlah untuk bertahan. Saya rasa itu proses biasalah politik,” terangnya.

Beliau juga berkeyakinan undi PEJUANG akan pergi ke PN kerana asal mereka daripada BERSATU selain kerana mereka mengikut Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menunjukkan sokongan kepada PN.

Sanusi bahkan percaya undi blok BN termasuk daripada MCA dan MIC akan diberikan kepada PN setelah parti tersebut menghadapi beberapa situasi ekoran Umno mengambil pendirian berkawan dengan PH. – HARAKAHDAILY 5/8/2023

Ulasan