Keputusan PRN dedah curiga penyokong UMNO kepada DAP


Tumpuan pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) menjurus bagaimana gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) gagal menyekat kemaraan Perikatan Nasional (PN), terutama di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor yang juga negeri kubu kuat PH.

Keputusan sapu bersih PN di Terengganu dan diikuti dengan keputusan hampir serupa di Kelantan dan Kedah sebenarnya tiada kena mengena dengan kelemahan PH-BN, tetapi lebih terkait dengan kekuatan sekutu BERSATU dalam PN, iaitu PAS.

Jika dikaitkan kemaraan gelombang PN adalah kerana kehebatan PAS, maka analisis paling popular pula kegagalan PH-BN disebabkan lemahnya UMNO. Ini kali ketiga UMNO menjadi tumpuan analisis keputusan pilihan raya. Kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 2018 memaksa Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan Presiden UMNO.

Kali kedua ialah ketika PRU15 yang mana BN memperoleh keputusan begitu buruk dengan kehilangan Perlis dan hampir terlepas Pahang dan Perak manakala pada peringkat nasional pula hanya mampu meraih 30 kemenangan kerusi parlimen.

Kedengaran desakan pada ketika itu supaya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai Presiden UMNO. Mungkin pada ketika itu desakan tidak mempunyai taring kerana UMNO ketika itu bercakaran sesama sendiri dan barisan kepimpinan tertinggi miliki pilihan agak terhad dalam setiap keputusan berkait calon PRU15.

Menghadapi PRN selepas pembersihan dalaman dilakukan UMNO dan keputusan pemilihan calon 100 peratus dibuat kepemimpinan tertinggi tanpa kekangan, malangnya parti itu masih berdepan dengan keputusan mengecewakan dan kali ini desakan supaya Ahmad Zahid berundur menjadi lebih kuat dan bertaring.

Memang benar prestasi UMNO begitu buruk kerana daripada 108 kerusi dipertandingkan hanya 19 berjaya dimenangi, tetapi hakikatnya daripada keseluruhan kerusi terbabit, sebahagian besarnya adalah di tiga negeri ditadbir PAS iaitu 73 kerusi amat sukar dimenangi walaupun kerusi di kawasan kubu UMNO.

Statistik mempamerkan cita rasa pengundi Melayu terutama di Selangor jelas menunjukkan rasa syak wasangka dalam kalangan penyokong UMNO terhadap DAP begitu menebal dan sebab itu 22 kerusi dimenangi PN adalah di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Kegusaran pengundi Melayu

Hakikatnya kegusaran pengundi Melayu terhadap kerjasama UMNO-DAP sudah lama tercetus sebaik bermula era kerjasama PH-BN demi kewujudan kerajaan Persekutuan pasca PRU15.

Walaupun kepemimpinan UMNO berusaha dengan pelbagai strategi terutama ketika Perhimpunan Agung UMNO lalu bahawa kerjasama dengan DAP adalah untuk kebaikan semua, ternyata usaha itu tidak efektif kerana DAP dalam Kerajaan Perpaduan dianggap begitu dominan.

Jika disandarkan keputusan PRN Selangor, secara purata calon DAP menang bergaya dengan majoriti amat lumayan seperti di Kinrara, Subang Jaya dan Bandar Baru Klang. Pola sebegini mempamerkan isyarat jika calon itu adalah daripada PH dan spesifiknya DAP, penyokong mereka pasti keluar mengundi menyokongnya.

Akan tetapi apabila calon UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Datuk Wira Megat Zulkarnain tewas walaupun dengan hanya perbezaan 58 undi, manakala di Bukit Antarabangsa calon PH, Mohd Kamri Kamaruddin menang bergaya dengan majoriti lebih 16,000 undi sedangkan kedua-dua kawasan berdekatan itu kubu kuat PH. Ini menimbulkan kemusykilan mengenai sokongan penyokong PH terhadap calon UMNO di Gombak Setia.

Jika ditinjau keputusan PRU15, iaitu untuk Parlimen Gombak dan Parlimen Ampang, pengundi PH di Gombak Setia dan Bukit Antarabangsa bertanggung jawab menyebabkan calon PH di kedua-dua kawasan Parlimen itu menang bergaya dengan majoriti masing-masing lebih 13,000 dan 29,000 undi.

Anehnya ketika PRN pula fenomena ini tercetus di Bukit Antarabangsa, tetapi tidak pula berlaku di Gombak Setia. Sebab itu timbul kemusykilan kemungkinan penyokong PH tidak memberi undi kepada calon UMNO.

Sementara itu, pengundi Melayu melihat tiada masalah kehadiran GERAKAN dalam PN kerana BERSATU dan PAS adalah kuasa sebenar dalam kerjasama itu seperti mana satu ketika kehadiran MCA-MIC dalam BN tidak menggusarkan pengundi Melayu.

Maka, dihujahkan juga untuk menarik kembali sokongan pengundi Melayu terhadap gabungan PH-BN, maka perlu dipamerkan gabungan UMNO-Parti Amanah Negara (AMANAH)-PKR adalah parti dominan bukan sahaja dalam entiti kerajaan Persekutuan tetapi juga pentadbiran negeri terutama di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.

Kerajaan negeri sama ada di bawah pentadbiran BN, iaitu Johor, Melaka, Pahang dan Perak atau PH di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor perlu memainkan peranan masing-masing demi menonjolkan kedaulatan agama Islam tetap akan dilindungi. Tekanan paling ketara adalah di tiga negeri PH kerana sudah pasti komposisi barisan EXCO adalah mirip peringkat nasional.

Sebab itu penting jangan dibiarkan EXCO daripada UMNO tenggelam dalam setiap dasar negeri bakal digubal supaya persepsi negatif UMNO lemah dalam kerajaan Persekutuan tidak berulang pada peringkat negeri.

Hakikatnya keputusan PRN ini UMNO tidak harus dipersalahkan kerana bekerjasama dengan PH, tetapi penerimaan penyokong PH terhadap kehadiran UMNO juga boleh dipersoalkan.

Penulis adalah Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR)

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Ulasan