KUALA LUMPUR: Seorang pempengaruh media sosial terkenal dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berhubung sebuah video tular yang mendakwa warga China masih belum keluar dari negara ini.
Beliau yang lebih dikenal sebagai Papa Berry atau nama sebenarnya, Nurpais Ismail, memberi keterangan di Pejabat Jenayah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) jam 11.30 pagi, semalam.
Dalam video yang dimuat naik pada 29 Julai lepas, beliau mempersoalkan status seorang warga China yang didakwa masih berada di negara ini, berbeza dengan maklumat yang disampaikan oleh pihak berkuasa.
“Saya terpanggil untuk melontarkan pertanyaan tersebut atas dasar keselamatan negara dan kepentingan awam. Saya memuat naik video tersebut pada 29 Julai jam 3 petang.
“Kemudian pada Ahad, 30 Julai, saya mendapat panggilan telefon daripada seorang inspektor polis dari bahagian siasatan jenayah KLIA2 yang meminta saya hadir untuk memberi keterangan berhubung video terbabit.” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Nurpais mendakwa tidak pasti sebab sebenar dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis.
“Saya tak faham dan tidak mengetahui punca laporan polis dibuat sehingga menyebabkan saya dipanggil untuk memberikan keterangan. Tapi perlu dijelaskan, saya bukan didakwa oleh pihak polis atas apa jua pertuduhan, sebaliknya hanya dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.
Pada 29 Jun lalu, kekecohan berlaku di KLIA apabila Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing, `menyerbu’ balai ketibaan penumpang, dikatakan untuk menyelesaikan masalah seorang warga China yang tidak melepasi syarat untuk memasuki negara ini.
Sementara itu, Papa Berry menyifatkan kebebasan bersuara di bawah kerajaan sekarang kurang memberangsangkan.
Beliau mendakwa banyak video yang kritikal terhadap kerajaan diturunkan tanpa sebarang sebab, termasuk dua video yang dia muat naik `hilang’ secara tiba-tiba walaupun kandungannya tidak melanggar garis panduan medium sosial tersebut.
Katanya, sepatutnya PH yang selama ini memperjuangkan kebebasan bersuara mengangkat perkara tersebut dalam pentadbiran, namun keadaan itu tidak menjadi kenyataan.
“Setiap perkataan kami dipantau pihak berkuasa seolah-olah memberi isyarat yang kerajaan hendak menyekat kebebasan bersuara.
“Ugutan sebegitu pasti menyebabkan rakyat takut untuk bersuara, sebaliknya, jika muncul kenyataan sensitif oleh pihak penyokong atau pimpinan kerajaan, seolah olah tiada tindakan diambil,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2023
Ulasan
Catat Ulasan