Paras air laut meningkat lebih cepat daripada purata global



GENEVA: Paras laut di Pasifik Barat Daya kini meningkat lebih cepat daripada purata global menyebabkan pulau-pulau rendah terancam, manakala gelombang haba pula kian merosakkan ekosistem marin.

Dalam laporan Keadaan Iklim di Pasifik Barat Daya 2022,agensi metereologi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada hari ini, Jumaat (18 Ogos) berkata, paras air meningkat kira-kira 4 milimeter (mm) setahun di beberapa kawasan, sedikit melebihi kadar purata global.

Ini bermakna wilayah rendah seperti Tuvalu dan Kepulauan Solomon dari masa ke masa boleh dilanda banjir, yang bakal memusnahkan tanah pertanian dan penempatan penduduk yang tidak dapat berpindah ke tempat yang lebih tinggi, lapor Reuters.

Laporan itu menambah bahawa gelombang haba marin telah berlaku di kawasan besar di timur laut Australia dan selatan Papua New Guinea selama lebih enam bulan, menjejaskan hidupan marin dan mata pencarian masyarakat tempatan.

Menurut Setiausaha Agung WMO, Petteri Taalas, pemanasan suhu permukaan air di timur dan tengah Lautan Pasifik yang kembali tahun ini, El NiƱo, akan memberi kesan kuat kepada rantau tersebut.

"Ini akan memberi impak besar kepada wilayah Pasifik Barat Daya kerana ia sering dikaitkan dengan suhu yang lebih tinggi, corak cuaca yang mengganggu dan lebih banyak gelombang haba marin dan pelunturan karang,” katanya dalam satu kenyataan sambil menambah bahawa ancaman bahaya secara langsung itu bakal menjejaskan lebih daripada 8 juta populasi.

Tambah laporan tersebut, wilayah berkenaan telah merekodkan sebanyak 35 bencana alam pada tahun lalu termasuk banjir dan ribut, yang mengorbankan lebih 700 orang, menurut laporan itu.

Laporan itu berkata, walaupun jumlah kejadian cuaca bencana yang dilaporkan di rantau ini menurun tahun lepas berbanding 2021, skala kerugian ekonomi akibat banjir dan kejadian cuaca meningkat.

Kerosakan banjir, termasuk di Australia dan Filipina mencecah jumlah AS$8.5 bilion (RM39.5 bilion), hampir tiga kali ganda pada tahun sebelumnya. – HARAKAHDAILY 18/8/2023

Ulasan