PAS melakar sejarah, membina masa depan Kedah




PAS Negeri Kedah buat pertama kali pada sejarah penyertaannya dalam pilihan raya, telah berjaya mencapai kerusi melebihi majoriti mudah iaitu 21 kerusi daripada 36 DUN di negeri ini.
Kedudukan ini dikukuhkan dengan gabungan bersama parti BERSATU dan GERAKAN membentuk keseluruhan 33 kerusi DUN. Ini bukan sahaja menyaksikan kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) di Kedah, bahkan melebihi majoriti 2/3 kerusi DUN.

PAS mulai mentadbir negeri Kedah di bawah era Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abd Razak dengan kemenangan bersama Pakatan Rakyat pasca PRU ke-12.

Ketika itu, PAS menyumbang 16 kerusi DUN kepada Pakatan Rakyat sekali gus menafikan peluang Barisan Nasional (BN) mempertahankan negeri Kedah. Namun, Kerajaan itu hanya bertahan sepenggal.

Pada tahun 2018 iaitu PRU14, PAS dikurniakan 15 kerusi DUN dan dapat mengambil alih Kerajaan pada Mei 2020 selepas beberapa polemik parti pemerintah ketika itu.

YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi selaku ADUN Jeneri yang beliau juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, pertama kalinya diangkat sebagai Menteri Besar Kedah.

Pilihan rakyat

Saya berkeyakinan kesinambungan kerusi yang dimiliki PAS dalam PRN kali ini mengukuhkan tapak asasnya sebagai parti pilihan utama majoriti Melayu-Islam di negeri ini.

Bahkan didapati juga bangsa-bangsa lain yang juga mula menerima PAS dalam berkerajaan.

Tambahan lagi, kemenangan PAS dalam PRN Kedah yang lalu juga mencatatkan beberapa rekod baharu.

Antaranya undi popular PAS dan PN mengalami peningkatan ketara daripada 55 peratus kepada 68 peratus, hanya dalam tempoh lapan bulan pasca PRU ke-15.

Malah, PAS juga berjaya memecahkan beberapa kubu kuat lawan yang tidak pernah dimenangi sejak daripada awal lagi.

Prof Dr Haim Hilman menebus jiwanya di N.06 Jitra dengan majoriti 23,172 undi. Bekas pemain bola sepak Kedah juga ikon belia, Baddrrol Bakhtiar pula memecahkan tembok di N.22 Gurun dengan majoriti 6,584 undi.

Manakala Bendahari PAS Kedah, Ustaz Azizan Hamzah mengenepikan dua calon lawan dengan majoriti yang besar iaitu 11,665 undi.

Memacu masa depan

Saya yakin kemenangan ini adalah lambang bulatnya tekad PAS Kedah untuk mentadbir negeri Jelapang Padi yang tercinta ini bersama rakan muafakat.

Kesatuan hati ini telah menyatukan roh perjuangan gabungan para ulama’ dan umarak, kepimpinan parti di pelbagai peringkat, jentera pilihan raya, termasuk juga para pengundi.

Saya cukup terkesan melihatkan anak-anak muda tekal bersama-sama YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi meskipun beliau diserang bertubi-tubi.

Malah merasa terharu melihatkan anak-anak perantauan yang pulang dari kejauhan semata-mata memberikan satu undi mereka kepada PN atas prinsip solidariti yang sama.

Mereka laksanakan tanggungjawab atas kesedaran bahawa mempertahankan YAB Dato’ Seri Sanusi sebagai Menteri Besar Kedah adalah suatu perjuangan mengangkat semula martabat dan maruah negeri Kedah.

Oleh sebab itu, saya dan seluruh kepimpinan PAS Kedah secara khususnya meletakkan kepercayaan di atas bahu YAB Dato’ Seri Sanusi, barisan EXCO serta para ADUN untuk melakar kejayaan demi kejayaan kepada negeri.

Pencapaian terhadap Pelan Kedah 2035 adalah ‘benchmark’ penting ke arah menggapai Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.

Gagasan besar ‘The Greater Kedah’ dalam mengembalikan identiti jiwa besar rakyat di negeri ini berjaya meningkah setiap hamburan fitnah tanpa henti.

Pada hemat saya ramuan dan adunan inilah yang menatijahkan kemenangan besar kepada Kedah.

Terus berjuang

Namun begitu, walau betapa manis sekalipun kejayaan yang dikecapi pada hari ini, saya tidak mahu PAS Kedah sudah berasa selesa atau ‘complacent’.

Kekuatan organisasi di peringkat cawangan-cawangan harus segera ditambah baik dan diperkukuh dari semasa ke semasa.

Kekuatan tarbiah, dakwah dan siasah perlu digembleng setiap masa, kerana itulah nadi kekuatan PAS yang dibangunkan oleh para ulama’ terdahulu.

Kita harus percaya bahawa kejayaan hari ini sebenarnya telah dibentuk oleh prinsip perjuangan golongan terdahulu.

Kita hanya menyambung rantaian perjuangan. Menjadi tugas hakiki kepada kita semua menyediakan suatu legasi besar untuk disambut oleh generasi akan datang.

Inilah PAS yang ada di dalamnya anak muda, golongan profesional, ulama’, wanita dan sebagainya, mengendong bersama-sama cita-cita Islam yang didukungnya.

Saya mendoakan Kedah menjadi lubuk kekuatan PAS sebagaimana yang lama dijelmakan oleh Kelantan dan Terengganu.

Seterusnya mencapai hasrat ‘The Greater Kedah‘, sebuah negeri yang ‘Sejahtera dan Berdaya Huni’ menelusuri perancangan Pelan Kedah 2035.

“Kedah, tempat orang miskin berteduh, tempat orang kaya berbakti.”

Semoga hasrat ini direalisasikan, insyaAllah.

Sekian.

DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya
PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 20/8/2023

Ulasan