PN menang besar, signal jelas untuk Putrajaya



ALHAMDULILLAH PAS Negeri Kedah mengucapkan setinggi-tinggi syukur ke hadrat Ilahi di atas anugerah kemenangan besar PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) khususnya di bumi Darul Aman.

Ia melakar satu sejarah luar biasa di negeri ini dengan PN mencatatkan rekod penguasaan dua pertiga majoriti apabila memenangi 33 daripada 36 keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ini sekali gus, hasrat kita semua untuk membolehkan Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi diangkat semula sebagai Menteri Besar Kedah ke-15 sebagaimana slogan ‘Kekal Sanusi’ pada PRN ini termakbul menjadi kenyataan.

Ingatlah bahawa kemenangan ini merupakan suatu kurniaan daripada Allah SWT di atas kerja keras seluruh jentera yang bekerja demi memenangkan hati rakyat untuk bersama PN.

PAS Negeri Kedah ingin menyatakan, bahawa kemenangan besar ini adalah suatu referendum daripada rakyat kepada Kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH-BN) yang sedang berkuasa di Putrajaya.

Ia adalah mesej jelas bahawa rakyat menolak politik keji dimainkan PH termasuklah agenda pembunuhan karakter dan tekanan politik yang dihadapkan kepada batang tubuh individu bernama Muhammad Sanusi Md Nor.

PAS Kedah ingin menegaskan agar prinsip federalisme kembali diangkat dengan wacana yang matang dan benar mengikut peruntukan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Adalah sangat tidak wajar penindasan terhadap Kerajaan Negeri dilakukan hanya kerana perbezaan warna atau ideologi parti.

PAS Kedah juga yakin PN kini menjadi teraju utama survival politik Melayu-Islam. Rakyat sudah membuka mata seluasnya untuk menilai antara kaca dan permata.

PAS Kedah berkeyakinan PH tidak lagi diterima khususnya dalam mengangkat agenda politik Melayu-Islam.

Oleh itu, wajar bagi parti yang berteraskan Melayu-Islam supaya segera tinggalkan PH dan kembali kepada payung besar penyatuan ummah.

PAS Kedah juga melihat agenda menghapuskan rasuah harus dibangunkan secara tegas dan berprinsip, bukannya menjadi retorik politik.

PAS Kedah berpandangan kerana prinsip berkaitan itulah maka ramai dalam kalangan UMNO dan golongan atas pagar, ikhlas memberikan undi kepada PN yang dilihat Bersih dan Stabil (BEST).

PAS Kedah mahu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jentera PN Negeri yang menunjukkan komitmen sejak daripada awal untuk mempertahankan negeri dan kepimpinan Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor.

Turut tidak dilupakan kepada para pengundi yang memberikan sokongan kepada PN meskipun terpaksa menghabiskan wang beribu ringgit untuk pulang.

Semoga Allah SWT membalas segala pengorbanan yang ditaburkan.

Sekian.

DATO’ USTAZ HAJI AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 13/8/2023

Ulasan