PN Pahang akan bertanding di PRK DUN Pelangai



KUANTAN: PERIKATAN NASIONAL (PN) Pahang mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, kata Pengerusinya Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

“PN sedang membincangkan calon yang paling sesuai (bagi PRK Pelangai),” katanya ringkas kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andasura Rabu berkata pihaknya telah menyerahkan senarai calon kepada kepimpinan pusat untuk dipertimbangkan dan akan bermesyuarat minggu depan bagi membincangkan gerak kerja PRK itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi kerusi DUN Pelangai pada 7 Okt ini manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 23 Sept dan 3 Okt ini.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK DUN Pelangai mengandungi seramai 16,456 orang pemilih yang terdiri daripada 16, 417 pengundi biasa, 36 orang polis dan tiga orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

PRK DUN Pelangai perlu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lepas. – BERNAMA

Ulasan